Isu SemasaMalaysiaPolitikTempatan

Siapa Yang Akan Dilantik Sebagai Speaker Dewan Rakyat?

Sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Ke-14 bakal membuka tirai pada 16 Julai 2018 dan akan berlangsung selama 20 hari.

Namun, persoalan yang masih belum terjawab sehingga kini adalah siapa yang akan menjadi Speaker Parlimen yang baru.

Terdapat pelbagai spekulasi mengenai siapa yang akan memegang jawatan terpenting di dalam Dewan Rakyat berkenaan.

Memetik laporan The Star, Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran memberi petanda bahawa terdapat kemungkinan Speaker yang bakal dilantik adalah seorang wanita.

Peguam Perlembagaan, Datuk Malik Imtiaz Sarwar juga yakin dengan pelantikan Speaker wanita, tetapi calon-calon yang dipilih perlu mempunyai kelayakan yang sewajarnya.

“Speaker Dewan Rakyat boleh dipilih dalam kalangan Ahli Parlimen atau seseorang individu yang layak untuk dilantik, (antara syarat) perlu berusia sekurang-kurangnya 21 tahun dan tidak hilang kelayakan di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

“Seorang bekas hakim juga boleh menjadi Speaker, selagi dia memenuhi syarat-syaratnya. Speaker Dewan Rakyat yang ke-6, Tun Dr Mohamed Zahir Ismail, merupakan seorang hakim Mahkamah Tinggi,” katanya.

Seperti yang termaktub di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, seseorang individu tidak boleh menjadi Ahli Parlimen atau Speaker sekiranya:

1. Tidak waras

2. Bankrap/Muflis

3. Memegang jawatan berpendapatan

4. Menjadi rakyat negara asing

5. Berbelanja melebihi jumlah yang dibenarkan oleh undang-undang untuk kempen pilihan raya

6. Disabitkan bersalah atas suatu kesalahan jenayah, di mana hukumannya adalah penjara selama setahun atau lebih atau denda RM 2,000 ke atas.

Bercakap tentang calon mana yang sesuai, Imtiaz menyebut nama Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

“Saya rasa beliau adalah pilihan yang bagus. Beliau mempunyai pengalaman menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, dan menjadi wanita pertama untuk dilantik memegang jawatan itu,” jelasnya.

Sementara itu, terdapat juga spekulasi bahawa bekas Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan, Tan Sri Rais Yatim, 76, bakal dilantik sebagai Speaker Parlimen yang baru.

Sekiranya Rais memegang jawatan itu, Hannah Yeoh pula dijangka akan menjadi timbalannya sekali gus melakar sejarah baru dilantik sebagai Timbalan Speaker wanita pertama di Malaysia.

Menurut laporan Sin Chew Daily, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhasrat untuk melantik Rais yang juga ahli baru dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Rais turut menyatakan bahawa beliau sudah bersedia untuk memikul tugas berkenaan dan menganggapnya sebagai satu perkhidmatan kepada negara.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button