Antarabangsa

Islam Di Sierra Leone: Dibanjiri Berlian Yang Berdarah

Sierra Leone semestinya melekat di minda kita sebagai negara bergolak yang dipopularkan melalui filem Hollywood, “Blood Diamond”.

Lakonan memukau Leonardo Di Caprio dalam filem itu nescaya merembeskan adrenalin, apabila beliau tersepit antara cinta, wang dan ideologi imperialis bertopengkan pasukan askar upahan (mercenary).

Poster filem Blood Diamond, yang secara halus mendedahkan campurtangan pihak tertentu dari luar, membiayai konflik di Sierra Leone bagi memonopoli sumber berlian di sana

Ketiga-tiga elemen itu berperang sesama sendiri di pentas yang penuh konflik, yang memaparkan peperangan saudara di Sierra Leone sebagai akibat dari perebutan kuasa dan sumber alamnya, berlian.

Pihak tentera dikerah supaya mengawal lombong-lombong berlian di Afrika termasuk Sierra Leone

BERLIAN BERDARAH

Pada tahun 2001, Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menyiarkan laporan mengejutkan, yang mengesahkan campurtangan pihak luar dalam konflik di Sierra Leone, serta di kebanyakan negara-negara Afrika yang bergolak.

Laporan itu, yang berjudul “Report of the Panel of Experts on the Illegal Exploitation of Natural Resources and Other Forms of Wealth of DR Congo”, antara lain mendedahkan skandal monopoli berlian oleh pihak tertentu dari luar yang berkepentingan di Congo, serta jaringan mereka yang menjangkau ke negara lain di Afrika termasuk Sierra Leone.

Ditandatangi oleh Mantan Setiausaha Agung PBB, Kofi A. Annan, dokumen itu mendedahkan monopoli berlian di Afrika telah diserahkan kepada pihak International Diamond Industries (IDI) dengan dua objektif.

Pertama, untuk mendapatkan bekalan kewangan yang pantas, bagi tujuan pembelian senjata.

Objektif kedua ialah untuk mendapatkan akses mudah dan langsung kepada persenjataan perang dan perisikan yang ditawarkan (pihak Iuar) kepada negara-negara di Afrika.

“PERGUNUNGAN SINGA”

Meskipun dilanda peperangan akibat perencanaan pihak tertentu, namun hakikatnya Sierra Leone – seperti negara Afrika yang lain – kaya dengan sejarah.

Republik ini yang terletak di pantai barat benua Afrika, adalah negara yang berkeluasan 71,740km persegi.

Sierra Leone bermaksud “pergunungan singa”, dan ini tidak menghairankan melihatkan kecekalan warga peribumi mereka menentang penjajahan kuasa imperialis khususnya Portugis.

Namun, kekuasan penjajah Portugis pada circa 1400-an tidak terkalahkan oleh warga Sierra Leone pada waktu itu, dan akhirnya mereka ditangkap dan diperdagangkan sebagai hamba oleh pihak Portugis.

Meskipun sarat perang, Sierra Leone hakikatnya menawarkan keindahan alam yang memukau jiwa memandang

ISLAM DI SIERRA LEONE

Sejak tahun 2008, agama Islam telah mencapai kemuncak majoriti di sini, apabila menjadi agama dengan paling ramai pengikut.

Dianggarkan, 75% dari total penduduk Sierra Leone telah memeluk agama Islam. Ini merupakan lonjakan yang luar biasa kerana pada tahun 1960, data bancian menunjukkan bahawa populasi kaum Muslim hanya berjumlah 30% daripada keseluruhan populasi.

ETNIK DOMINAN

Terdapat 18 etnik berbeza di Sierra Leone, dengan dua yang terbesar ialah Temne dan Mende.

Etnik Temne merupakan etnik utama di wilayah utara negara itu, dan sebahagian besar daripada mereka beragama Islam. Selain Temne, 9 daripada keseluruhan etnik di Sierra Leone juga, majoritinya beragama Islam.

Sejarah perkembangan Islam di negara ini dapat dijejaki seawal abad ke-18.

Etnik Creole di Sierra Leone

Waktu itu, suku-suku yang berbahasa Fulani dari wilayah Fouta Djallon (kini merupakan wilayah Guyana) memberikan pengaruh yang sangat besar dalam proses Islamisasi etnis Tenme di bahagian utara Sierra Leone.

Apabila Sierra Leone ditakluk oleh British, pihak penjajah segera melaksanakan kempen Kristianisasi, namun usaha itu dilihat tidak berjaya mengekang pengaruh Islam, dan oleh yang demikian, kempen mereka dilihat tidak efektif.

ISLAM PASCA MERDEKA

Islam terus berkembang sejak kemerdekaan Sierra Leone dari pihak British pada tahun 1961.

Ini dapat dilihat melalui jumlah umat Islam di sana pada tahun 1960, hanyalah mewakili sekitar 30% daripada keseluruhan populasi, namun melonjak dua kali kali ganda menjadi 60 peratus pada tahun 2000.

Bagi tahun 2008 pula, bancian menunjukkan lonjakan yang signifikan, menjadikan jumlah jiwa yang disinari nur Islam meningkat kepada 71%, atau bersamaan 4,059,000 penduduk.

ISU DAN CABARAN

Memandangkan jarak yang jauh ke Mekah, warga Muslim di sana mengalami kesukaran menunaikan ibadah haji, yang merupakan rukun Islam ke-5.

Tidak sekadar itu, faktor kemiskinan yang melarat lantaran perang saudara yang tak berkesudahan juga semakin menambah luka kepada warga Muslim di sana.

Perang saudara di Sierra Leone didalangi pihak asing sebagai perencana

Luka itu, meskipun membarah, namun nampaknya terubat dengan percambahan masjid dan pusat komuniti Islam, buat dijadikan tempat untuk Muslim mendekatkan diri kepada Allah SWT, dan meminta pertolongan dari Ilahi.

Di Kota Freetown misalnya, berdiri megah sebuah masjid yang dibangun oleh Muammar Qaddafi, (mantan) Presiden Libya, sebagai hadiah bagi muslim Sierra Leone.

Masjid Muammar Qaddafi di Freeetown ini diresmikan pada tanggal 14 Agustus 2009. Bangunan masjid megah dilengkapi dengan plaza terbuka dan penataan lanskap yang cukup epik dan indah. Masjid ini mampu menampung hingga lebih dari 5000 jemaah sekaligus.

Masjid yang dibina Muammar Qaddafi di Sierra Leone
Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close