AntarabangsaEropahIsu Semasa

Britain Tingkatkan Strategi Anti-Keganasan

Britain telah meningkatkan strategi anti-keganasannya dalam usaha membasmi ancaman terorisme yang semakin meningkat.

Memetik laporan Reuters, langkah itu memberi fokus untuk memanfaatkan teknologi secara menyeluruh, berkongsi maklumat dengan lebih meluas, serta mengukuhkan hubungan pihak berkuasa bersama syarikat-syarikat perniagaan.

Oleh itu, pihak berkuasa dan syarikat perniagaan akan meningkatkan kerjasama dari pelbagai aspek termasuk perkongsian maklumat untuk mengenalpasti pembelian-pembelian yang mencurigakan serta meningkatkan keselamatan di tempat atau kawasan yang sesak.

Menteri Dalam Negeri baru, Sajid Javid berkata, strategi baru ini akan membantu Britain membanteras ancaman pengganas dengan lebih berkesan, dan ia juga dihasilkan berdasarkan ‘pengajaran/iktibar’ yang diperoleh daripada insiden serangan London dan Manchester pada tahun lepas yang meragut nyawa 36 orang.

Pada 3 Jun, kementerian tersebut mengeluarkan amaran bahawa ancaman militan IS terhadap Britain dijangka akan kekal pada tahap yang tinggi dalam tempoh dua tahun akan datang, dan mungkin meningkat lagi.

“Keganasan adalah salah satu ancaman yang paling teruk kita sedang hadapi dan ia (terorisme) secara jelas menunjukkan perubahan,” kata Javid.

Tahap ancaman yang tinggi juga membawa makna bahawa Britain amat cenderung untuk diserang oleh pengganas pada bila-bila masa sahaja.

Jelas beliau, radikalisasi berlaku dengan kerap di atas talian (online), dan barang-barang harian juga digunakan oleh pengganas untuk melancarkan serangan.

Menurut kerajaan, pihak berkuasa telah menggagalkan 25 plot serangan militan sejak bulan Jun 2013 dan kini sedang mengendalikan lebih daripada 500 operasi secara langsung.

Dalam pada itu, Javid menyifatkan kumpulan pengganas sebagai “kumpulan minoriti yang mempunyai akidah songsang,” dan mereka tidak melambangkan Islam yang sebenar.

Tegasnya lagi, masyarakat Muslim juga telah memainkan peranan penting dalam menentang keganasan.

“Warga Muslim British di seluruh negara mengetuai perjuangan menentang ekstremis, dengan menghalau mereka daripada masjid dan menentang ‘racun’ (ideologi songsang) di atas talian serta di jalanan,” katanya.

Walaupun militan adalah ancaman utama, tidak dinafikan juga bahawa ancaman kumpulan ekstremis berhaluan kanan turut menyaksikan peningkatan yang membimbangkan.

“IS dan kumpulan pelampau berhaluan kanan adalah sama. Kedua-dua kumpulan itu memutarbelitkan kebenaran, dan meruntuhkan nilai-nilai (kebaikan) yang kita pegang bersama,” ujar Javid.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker