AntarabangsaAsiaIsu Semasa

Menteri Kewangan Jepun Pulangkan Gaji Setahun Bernilai 30 Juta Yen

Awal bulan Jun, Menteri Kewangan Jepun, Taro Aso bertindak memulangkan semula gaji setahunnya bernilai 30 juta yen (RM 1.08 juta) selepas mendapati kementerian beliau telah mengubah suai dokumen-dokumen awam berkaitan skandal kronisme yang membabitkan Perdana Menteri, Shinzo Abe.

Memetik laporan AFP, pegawai-pegawai di kementerian kewangan telah membuang ratusan rujukan yang membabitkan Abe, isterinya, serta Aso, daripada dokumen skandal penjualan tanah kerajaan di bawah harga pasaran kepada seorang operator sekolah yang menjalinkan hubungan rapat dengan Perdana Menteri.

Walau bagaimanapun, Aso menegaskan bahawa beliau tidak akan meletak jawatan, tetapi sebaliknya memulangkan gajinya selama 12 bulan yang telah diterima sebagai menteri Kabinet.

“Saya dengan sukarela memulangkan 12 bulan gaji saya sebagai menteri Kabinet, memandangkan masalah ini telah menjejaskan keyakinan awam terhadap kementerian kewangan dan pentadbiran negara secara menyeluruh.

“Tetapi, saya tidak berfikir untuk meletak jawatan,” tegasnya.

Difahamkan, Aso merupakan menteri yang paling “berada” di dalam Kabinet Abe memandangkan keluarganya memperoleh kekayaan besar daripada hasil perniagaan perlombongan.

Ujar Aso, kementeriannya telah mengambil tindakan terhadap kira-kira 20 orang pegawai, termasuk pemotongan gaji.

“Dokumen kerajaan yang diluluskan secara rasmi sepatutnya tidak boleh diubah dan dihantar ke parlimen.

“Saya amat kesal dengan perkara ini,” kata beliau.

Dalam pada itu, Abe turut menyatakan bahawa beliau mahu Aso untuk kekal sebagai Menteri Kewangan dan “mengambil iktibar” daripada skandal yang telah berlaku.

Tegas Abe, kajian secara menyeluruh perlu dilakukan dalam usaha menjaga/menyimpan dokumen-dokumen awam daripada diubah oleh mana-mana pihak.

“Kita perlu melaksanakan kajian secara menyeluruh mengenai bagaimana untuk menyimpan dokumen-dokumen awam dan mengambil langkah untuk memastikan perkara ini tidak terjadi lagi,” kata Perdana Menteri itu.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close