Sekiranya terdapat senarai pasangan selebriti yang telah berjaya menggabungkan cinta dan perniagaan, Beyoncé dan Jay-Z adalah ikon semasa. Tetapi bukan mereka sahaja yang berjaya melakukannya.
Berikut adalah lima pasangan selebriti lain yang merupakan rakan seumur hidup dalam perkahwinan dan perniagaan.
1. Tom Hanks & Rita Wilson
Kali pertama Tom Hanks dan Rita Wilson bertemu adalah di set sitkom Bosom Buddies di mana Hanks melakonkan watak utama.
Pada masa itu, Hanks telah berkahwin dengan kekasih kolejnya. Apabila berpisah dengan isteri pertamanya, Hanks tertarik kepada Wilson. Mereka bertemu semula di set filem Volunteers.
Pasangan itu telah bersama selama 30 tahun. Wilson telah menjadi pemain utama dalam syarikat penerbitan Playtone Entertainment yang dimiliki oleh Hanks. Malah, ia adalah idea Wison untuk menghasilkan filem My Big Fat Greek Wedding yang menjadi kejayaan box office.
Apabila diminta nasihat untuk pasangan yang ingin berkahwin, Hanks berkata kepada: “Tidak ada yang sepatutnya berkahwin sebelum mereka berusia 30 tahun.” Hanks berkahwin dengan Wilson pada tahun 1988 pada usia 32 tahun.
2. Alicia Keys & Swizz Beats
Bagi sesetengah pasangan selebriti, mereka bertemu melalui urusan bisnes. Pertama kali Alicia Keys bertemu dengan Swizz Beats, penyanyi itu tidak menyukai pencipta muzik hip-hop terbabit.
Cinta ereka berputik apabila mereka mula bekerja bersama. Swizz Beats telah menghasilkan banyak lagu Keys dan bersama-sama, pasangan itu telah memenangi pelbagai anugerah Grammy. Pasangan ini mempunyai dua orang anak.
3. Will Smith & Jada Pinkett Smith
Sesiapa yang mengatakan perkahwinan Hollywood tidak akan kekal, mereka harus melihat Will dan Jada Pinkett Smith. Pasangan itu dijangka meraikan ulang tahun perkahwinan ke-21 mereka pada penghujung tahun ini.
Kedua-dua pelakon itu bukan sahaja berjaya dalam kerjaya masing-masing tetapi mereka menjalankan sebuah syarikat penerbitan filem yang dinamakan Overbrook Entertainment yang telah mengeluarkan filem-filem yang memenangi anugerah Oscar seperti The Pursuit of Happyness dan Ali.
Apakah kunci yang menjalinkan hubungan mereka? “Keseluruhan struktur kehidupan kami, baik rumahtangga mahupun hubungan perniagaan adalah bertujuan untuk membuatkan kami bahagia,” kata Will.
4. Melissa McCarthy & Ben Falcone
Bagi anda yang menonton filem Bridesmaids, anda mesti mengingati keserasian yang tidak dapat dinafikan antara Melissa McCarthy dan Ben Falcone.
Pelakon terbabit tidak perlu memaksa keserasian antara mereka kerana mereka telah berkahwin sejak tahun 2005, enam tahun sebelum The Bridemaids ditayangkan.
Pelakon komedi itu juga merupakan rakan perniagaan kerana mereka menjalankan syarikat penerbitan mereka sendiri yang telah mengeluarkan filem seperti Tammy.
Apabila ditanya rahsia untuk mencari pasangan hidup, Falcone memberitahu: “Luangkan masa anda ketika memilih seseorang yang anda ingin kahwini. Selagi anda bersama orang yang bersifat baik dan melayannya dengan baik, ia akan berjaya. “
5. Penelope Cruz & Javier Bardem
Penelope Cruz dan Javier Bardem mula bertemu semasa penggambaran filem pada tahun 1992. Tetapi ia mengambil masa 15 tahun sebelum pasangan itu bertemu lagi untuk bercinta melalui filem Woody Allen.
Pada tahun 2010, mereka memutuskan untuk berkahwin. Perkahwinan mereka menyemarakkan lagi dunia lakonan pasangan itu. Mereka berdua membintangi filem thriller The Counselor dan Love Pablo.
Walaupun bekerja bersama-sama, Bardem mendedahkan bahawa pasangan itu berhati-hati untuk tidak membawa suasana gelap ke rumah mereka selepas menjalani hari penggambaran yang sibuk. – Star2