Isu SemasaTempatan

Pelan Hala Tuju Kesejahteraan Kanak-Kanak Tangani Isu-Isu Penting

Pelan Hala Tuju Kesejahteraan Kanak-kanak bakal diwujudkan bagi mengatasi isu yang membabitkan kesejahteraan kanak-kanak di negara ini. Isu-isu yang diketengahkan termasuk pendidikan, kemiskinan, perumahan dan pemakanan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan bahawa Malaysia telah gagal memastikan kesejahteraan kanak-kanak terjaga, walaupun berjuta-juta dibelanjakan selama hampir tiga dekad.

“Kita menghabiskan banyak wang dari tahun 1989-2017, kira-kira RM287 juta tetapi hasilnya tidak (jelas)… kenapa tidak ada hasil? Kita tidak melihat (kemajuan) seperti yang dilihat di negara lain.

“Kita tidak boleh mendakwa menjadi masyarakat yang penyayang jika kita mengabaikan dan tidak mempedulikan mereka yang paling memerlukan penjagaan,” katanya.

Sumber: BERNAMA (2018)

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kerajaan tidak boleh merancang masa depan yang lebih baik jika kira-kira satu daripada tiga atau satu daripada empat anak-anak hidup dalam kemiskinan.

Memetik laporan The Sun Daily, beliau berkata isu-isu ini masih berlaku walaupun terdapat data yang mencukupi tentang masalah yang  dihadapi kanak-kanak di negara ini.

Menurut Bernama, lima kementerian akan bekerjasama untuk membangunkan pelan ini bagi mewujudkan pendekatan yang lebih bersepadu dan teratur.

Katanya lagi, kanak-kanak pelarian dan kanak-kanak tanpa kerakyatan juga perlu dilibatkan dalam pelan ini kerana cenderung terdedah kepada kes-kes penderaan seksual.

Selain itu, beliau berkata Bantuan Sara Hidup, yang sebelum ini dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), adalah inisiatif yang baik tetapi gagal mengambil kira perbezaan kemiskinan setiap penerima.

“Sebuah rumah tangga yang mempunyai lapan anak dan satu yang mepunyai hanya satu anak menerima bantuan yang sama. Kita juga harus membandingkan kemiskinan di setiap negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah menambah bahawa Malaysia perlu mengubah amalan menghulurkan bantuan kebajikan dan digantikan dengan bantuan yang lebih mampan supaya rakyat lebih berdikari dan juga dapat meningkatkan taraf hidup mereka.

Show More

Related Articles

Back to top button