AntarabangsaEropahIsu Semasa

Macedonia & Greece Tamatkan ‘Pertikaian Nama’ Selepas Lebih 20 Tahun

Pada 12 Jun minggu lepas, Macedonia dan Greece akhirnya berjaya menyelesaikan krisis atau pertikaian selama hampir tiga dekad yang membabitkan nama rasmi Macedonia.

Sebelum ini, Macedonia dikenali sebagai Republik Yugoslav Macedonia (FYROM), dan selepas mengadakan rundingan diplomatik yang panjang, kedua-dua buah negara bersetuju untuk menamakannya sebagai “Republic of North Macedonia” (Republik Macedonia Utara).

“Terdapat satu perjanjian. Kami mempunyai penyelesaian bersejarah selepas dua setengah dekad.

“Perjanjian kami termasuk penggunaan nama Macedonia Utara secara menyeluruh,” kata Perdana Menteri Macedonia, Zoran Zaev dalam satu kenyataan.

Memetik laporan AFP, Greece selama ini telah membantah negara jirannya itu dipanggil dengan nama “Macedonia” kerana ia juga mempunyai sebuah wilayah yang mempunyai nama yang serupa.

Difahamkan, terdapat beberapa nama lain yang turut dicadangkan sebelum ini, antaranya adalah “New Macedonia” dan “Upper Macedonia”, namun nama akhir yang dipersetujui adalah “North Macedonia.”

PERJANJIAN MASIH MEMERLUKAN KELULUSAN PARLIMEN

Sementara itu, Perdana Menteri Greece, Alexis Tsipras menyifatkan perjanjian baru ini sebagai satu kemenangan diplomatik dan peluang bersejarah bagi rantau itu untuk mewujudkan hubungan persahabatan, kerjasama, serta pembangunan bersama di antara satu sama lain.

Macedonia pula berharap agar penyelesaian konflik ini akan membuka jalan baginya untuk menyertai blok Kesatuan Eropah (EU) dan juga Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Walau bagaimanapun, pertukaran nama ini masih memerlukan kelulusan Parlimen Macedonia diikuti pelaksanaan referendum (pungutan suara), serta pengesahan daripada Parlimen Greece.

Tsipras menegaskan bahawa kerajaan Macedonia perlu mendapatkan kelulusan Parlimen kerana jika tidak, “jemputan untuk menyertai NATO akan dibatalkan dan rundingan bersama EU pula tidak akan bergerak.”

Dalam pada itu, Presiden Majlis Eropah, Donald Tusk turut menzahirkan sokongannya terhadap perjanjian bersejarah tersebut.

“Terima kasih kepada anda, perkara yang mustahil kini sudah boleh direalisasikan. Saya mengharapkan yang terbaik,” katanya.

GREECE DAN MACEDONIA HADAPI KRITIKAN HEBAT

Walaupun pemimpin kedua-dua negara sebulat suara bersetuju dengan perubahan nama berkenaan, ia tetap mendapat bantahan dan kritikan daripada pelbagai pihak.

Ini termasuk Presiden Macedonia sendiri, Gjorge Ivanov yang berpandangan bahawa persetujuan perlu dilakukan menerusi satu konsensus kebangsaan.

“Perlu ada konsensus kebangsaan yang lebih luas untuk mencari penyelesaian yang tidak akan mencemarkan maruah rakyat dan penduduk Macedonia,” kata Ivanov.

Difahamkan, beliau mempunyai hubungan yang akrab dengan parti nasionalis, VMRO-DPMNE yang ditewaskan oleh Zaev pada pilihan raya tahun lepas.

Pemimpin parti itu, Hristijan Mickoski pula menegaskan bahawa beliau tidak akan menyokong perubahan nama Macedonia.

“Kerajaan telah menandatangani perjanjian ini kerana ketidakcekapan perdana menteri (Zaev) untuk memimpin rundingan dan beliau menerima setiap permintaan yang dibuat oleh Greece,” ujar Mickoski.

Selain daripada kritikan ahli politik, puluhan warga Greece turut menzahirkan bantahan mereka dengan mengadakan demonstrasi besar-besaran di luar Parlimen.

Penunjuk perasaan bertempur dengan pihak polis, sehingga badan penguatkuasa itu terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi mengusir kumpulan terbabit yang cuba mencerobohi kompleks Parlimen.

Difahamkan, rakyat Greece membantah perubahan nama itu bagi melindungi “Macedonia” mereka sendiri bahagian utara negara, yang juga merupakan tempat kelahiran Alexander the Great.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker