Gaya HidupMakan & Minum

Perisa Telur Masin Trend Makanan Terkini

Telur masin telah lama didefinisikan sebagai juadah tradisi Malayu, malah makanan ini juga mempunyai kedudukan penting dalam sejarah makanan di negara-negara Asia.

Telur masin berasal daripada China dan telah wujud sejak beberapa abad yang lalu. Pada asalnya telur masin menggunakan telur itik kerana ia mempunyai lebih banyak asid lemak Omega-3 dan tiga kali ganda lebih banyak kolesterol berbanding telur ayam.

Menurut Michelin Guide Singapore, catatan terawal telur masin adalah di dalam teks pertanian Cina yang bertarikh pada abad kelima tahun masihi.

Kajian daripada Poultry Science mendapati bahawa telur masin itik pertama dicipta untuk memanjangkan jangka hayat telur kerana tiada alat penyejukan pada waktu itu.

Di pasaran Malaysia, telur masin dijual dengan salutan arang dan mempunyai rasa yang sesuai digandingkan dengan pelbagai bahan masakan. Setiap satu telur masin dilaporkan mempunyai 10g sodium.

Menurut sejarawan makanan tempatan, Ahmad Najib Ariffin, telur masin telah lama menjadi juadah tradisi bukan sahaja di Malaysia malah di negara-negara jiran, termasuk Brunei dan Indonesia.

Di kawasan perkampungan, terdapat telur masin pedas dan telur masin halia. Makanan ini juga tidak asing dalam masakan Cina kerana ia dipercayai dapat menghilangkan rasa panas dan membantu diarea.

Walaupun juadah ini telah lama dihidangkan dalam masakan tradisi, generasi baharu yang gemar mencipta menu baharu beralih kepada telur masin bagi mencipta sesuatu yang unik dan juga tidak asing buat rakyat tempatan.

Menurut The Star, gabungan perisa telur masin bersama makanan moden semakin menjadi trend generasi milenia. Pada 2016, MyBurgerLab mendapat inspirasi untuk mengeluarkan menu burger telur masin yang telah mendapat sambutan hangat oleh pelanggan.

Sumber: The Star. Menu Restoran Dotty’s Pastries & Coffee yang menggunakan sos telur masin.

Dotty’s Pastries & Coffee di TTDI juga mendapat perhatian ramai apabila mengeluarkan croissant-donut berperisa telur masin.

Sumber: The Star. Keropok telur masin Hou Sek.

Yang lebih menarik, bukan sahaja restoran yang mengambil kesempatan untuk mencipta menu unik menggunakan makanan tradisi ini, malah sebuah perniagaan di Singapura turut mengeluarkan snek keropok berperisa telur masin.

Tetapi mengapa ia muncul sebagai sesuatu bahan yang mampu menjadi trend makanan terkini walaupun sudah lama menjadi makanan tradisi Malaysia?

Menurut Najib, ia adalah kerana telur masin memberi rasa yang kuat dan tersendiri dan ramai perniagaan tempatan ingin mencari sesuatu yang boleh dicipta semula.

Dengan menggunakan kreativiti generasi baharu, telur masin kini semakin mendapat tempat di kalangan orang-orang muda.

Show More

Related Articles

Back to top button