MalaysiaPolitik

Parti Pembangkang Perlu Bermula Segera

Kerajaan Pakatan Harapan sudah mengambil alih pucuk pimpinan negara lebih daripada sebulan dan pelbagai perubahan telah dilakukan kepada Malaysia.

Tetapi, kerajaan ibarat bergerak solo tanpa tentangan dari parti pembangkang yang dilihat masih cuba menyesuaikan diri dan mencari arah untuk bermula.

Selain PAS, parti-parti yang dulu pernah menjadi kerajaan persekutuan dan kini menjadi pembangkang, semuanya cuba menyusun langkah baru. Tetapi sampai bilakah senario ini akan berterusan?

Sehingga ke hari ini, tidak ada sebarang perubahan akar umbi dalam parti-parti yang pernah membentuk Barisan Nasional terutamanya Umno sendiri.

Tidak kira berapa banyak pengakuan yang dibuat oleh wakil parti, mereka tetap tidak dapat mengubah hakikat bahawa mereka tidak pernah bersuara dan berbuat apa-apa semasa kepimpinan terdahulu sehingga menyebabkan kekalahan pada PRU-14.

Mungkin perubahan dalam kepimpinan tertinggi akan cukup baik untuk ahli Umno kerana parti tersebut memerlukan kepimpinan baharu yang bebas dari sebarang skandal jika mahukan kepercayaan rakyat Malaysia.

Dan bagaimana pula dengan nasib Barisan Nasional? Adakah mereka akan dibubarkan sepenuhnya? Sekiranya ini berlaku, arena politik negara akan kembali menarik.

Ini kerana selain daripada beberapa parti seperti Gerakan dan Parti Sosialis Malaysia yang secara rasmi bukan berasaskan kaum; kebanyakan parti lain di Semenanjung adalah berasaskan kaum.

Oleh itu, apa yang akan kita ada ialah parti-parti pembangkang yang sebahagian besarnya terdiri dari satu kaum yang akan menentang parti kerajaan yang berbilang kaum.

Ini boleh menjadi lebih dramatik dan menarik sekiranya Umno dan PAS menghentikan semua pertelingkahan mereka dan menubuhkan pakatan mereka sendiri.

Sekiranya mereka berbuat demikian, mereka akan menjadi kuasa yang sangat kuat. Di antara kedua-dua parti, mereka menerima kira-kira separuh undi popular.

Tidak kira apapun percaturan semasa pembangkang, kerajaan Pakatan Harapan memerlukan pembangkang untuk memerintah dengan baik dan telus.

Tanpa kehadiran pembangkang, kerajaan dikhuatiri akan terlalu selesa dan akan mengikut jejak parti pemerintah terdahulu yang terlalu leka dengan kuasa yang dimandatkan oleh rakyat sehingga mengabaikan amanah yang dipertanggungjawabkan. – The Star

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker