Isu SemasaTempatan

Makanan Berlebihan Majlis Kahwin Diberi Kepada Golongan Miskin

Krisis lambakan sampah di Indonesia semakin membimbangkan. Salah satu langkah untuk mengatasi situasi ini adalah dengan mewujudkan sebuah program yang memberi manfaat kepada alam sekitar dan juga masyarakat.

Program tersebut yang dinamakan Blessing To Share bertujuan untuk mengelak daripada berlakunya pembaziran sambil dapat menyediakan makanan kepada golongan miskin. Makanan berlebihan daripada majlis perkahwinan dibungkus dan kemudian disedekahkan kepada golongan miskin di sekitar ibu kota negara tersebut.

Menurut tinjauan daripada Economist Intelligence Unit tahun lepas, selain Arab Saudi, Indonesia merupakan negara paling banyak membazir makanan walaupun negara tersebut berhadapan dengan masalah kemiskinan dan malnutrisi.

Setiap rakyat Indonesia, yang terdiri daripada 260 juta orang, membazir hampir 300 kilogram makanan secara purata setiap tahun.

Memetik laporan AFP, antara sebab utama mengapa pembaziran makanan berlaku disifatkan kepada sikap murah hati rakyat yang sentiasa mengalu-alukan makanan yang banyak.

Tuan rumah cenderung menyediakan makanan berlebihan manakala tetamu pula lebih gemar melihat pilihan makanan yang banyak tetapi mereka tidak mampu untuk menjamah kesemuanya. Hal ini telah mengakibatkan pembaziran makanan.

Di seluruh dunia, kira-kira 30% atau 1.3 bilion tan makanan yang dihasilkan setiap tahun dibuang atau menjadi basi, ia dianggarkan bersamaan dengan kos ekonomi sebanyak $1 trillion, menurut Persatuan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pengasas Blessing To Share, Astrid Paramita berkata di Indonesia majlis perkahwinan sering diadakan jadi makanan berlebihan sentiasa ada. Program tersebut bertujuan untuk mengurangkan jurang antara golongan kaya dan miskin.

Setakat ini program tersebut hanya merangkumi Jakarta, namun Parmita berharap dapat meluaskan perkhidmatan kepada bandar-bandar lain dan melibatkan makanan berlebihan yang dihasilkan daripada syarikat.

Sejak melancarkan program ini pada November tahun lepas, sekitar 50 majlis perkahwinan telah mengambil bahagian dan sebanyak 1.6 tan makanan berjaya dikumpul dan dibahagikan kepada golongan miskin melalui pusat penyediaan makanan.

Show More

Related Articles

Back to top button