AntarabangsaAsiaIsu SemasaPolitik

China Bantu Modenkan Angkatan Tentera Kemboja

Baru-baru ini, China telah memberi peruntukan lebih daripada AS$ 100 juta (RM 400 juta) kepada Kemboja bagi tujuan modernisasi ketenteraan negara itu.

Memetik laporan Straits Times, bantuan tersebut ditawarkan oleh Menteri Pertahanan China, Jeneral Wei Fenghe, yang telah melawat ibu kota Kemboja, Phnom Penh, untuk menghadiri pameran ketenteraan China-Kemboja yang bermula pada hari Sabtu lepas (16/6/2018) sehingga Rabu (20/6/2018).

Namun menurut jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Chhum Sucheat, Jeneral Wei menganugerahkan geran berkenaan untuk digunakan bagi apa sahaja perkara yang diperlukan oleh Kemboja.

Selain itu, kedua-dua negara juga akan mengadakan lagi latihan ketenteraan bersama yang dikenali sebagai “Dragon Gold” pada tahun 2019.

“Beliau (Jeneral Wei) tidak menyatakan secara terperinci apa yang kami boleh beli, (tetapi) hanya berkata ia (peruntukan) adalah untuk penggunaan bagi sebarang bentuk keperluan,” kata Sucheat.

Difahamkan, Kemboja sebelum ini pernah mengadakan latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat (AS), namun ia telah menghentikan kerjasama itu secara menyeluruh.

Kemudian pada tahun 2016, Kemboja mula berganding bahu dengan China untuk melaksanakan latihan ketenteraan bersama.

Hubungan di antara kedua-dua negara tersebut menjadi semakin akrab sejak awal tahun ini selepas AS dan Kesatuan Eropah (EU) memutuskan untuk tidak lagi memberi sokongan dan bantuan terhadap Kemboja berikutan pembubaran secara paksa Parti Kebangsaan Kemboja (CNPR), iaitu parti pembangkang utama di sana.

Beijing akan turut membantu Phnom Penh dalam membuat persediaan untuk pilihan raya umum yang akan berlangsung pada bulan depan dari segi peralatan, termasuk menyediakan kotak undi dan pusat mengundi.

Dalam pada itu, China juga adalah pembantu kewangan utama Kemboja, di mana Beijing turut menyokong Perdana Menteri, Hun Sen, yang telah mentadbir Kemboja selama 33 tahun.

Langkah kerajaan Kemboja mengharamkan parti pembangkang telah menerima kritikan hebat oleh AS, EU dan negara-negara lain.

Hun Sen mengharamkan CNRP kerana parti itu didakwa bersekongkol dengan AS dalam usaha menggulingkan kerajaannya menerusi gerakan “revolusi warna.”

Revolusi warna merujuk kepada campur tangan sesebuah negara ke atas negara lain, bagi mempengaruhi hala tuju proses politik negara terbabit.

Show More

Related Articles

Back to top button