Gaya HidupIbu dan AnakKesihatan

Cara Untuk Anak Anda Lebih Fokus Di Sekolah

Kesibukan ibubapa pada masa kini menyebabkan kurang perhatian terhadap pemakanan kanak-kanak. Apatah lagi apabila mereka bukan berada di dalam pengawasan.

Walaupun terdapat inisiatif kerajaan dalam mengadakan pelan tindakan nutrisi di kantin sekolah 2016-2025, tetapi ibubapa juga harus memantau pemakanan anak mereka.

Makanan yang menyebabkan kanak-kanak sukar fokus di dalam kelas

Menurut Prof. Madya Dr Hazreen Abdul Majid dalam sebuah rencana dalam TheStar, makanan yang mempunyai indeks glisemik yang tinggi seperti bijirin dan roti putih cepat dihadam. Oleh itu seseorang akan berasa lebih cepat lapar.

Apabila kanak-kanak diberi sarapan seperti ini, kadar gula di dalam badan mereka tidak mencukupi sehingga waktu rehat di sekolah dan menyebabkan mereka sukar untuk fokus di dalam kelas.

Makanan yang digalakkan untuk kanak-kanak

Dr Hazreen lebih menggalakkan ibubapa untuk memberi anak-anak mereka makanan berserat tinggi seperti roti bijirin penuh. Ia akan melambatkan proses penghadaman dan lebih mengenyangkan.

Makanan bijirin penuh ini mempunyai kadar glisemik rendah dan memberi tenaga serta kebaikan penghadaman.  

Memakan daging pula tidak digalakkan pada setiap hari. Ibubapa digalakkan untuk memberi anak mereka daging yang pelbagai dengan melebihkan makanan berunsurkan ikan seperti tuna, sardin dan ikan laut dalam yang mempunyai DHA yang tinggi.

Jangan tinggalkan waktu makan

Pada zaman sekarang ibubapa lebih mementingkan aktiviti selepas sekolah seperti kelas tuisyen, sukan ataupun kelas muzik dan sebagainya tetapi adakalanya terkejar-kejar sehingga lupa untuk makan.

Dr Hazreen berkata perkara yang penting untuk tumbesaran sihat kanak-kanak ialah jangan tinggalkan waktu makan!

Ini terutamanya sarapan pagi. Sarapan pagi sangat penting sebagai “petrol” kepada “enjin” kanak-kanak. Apabila kurang gula di dalam badan, badan kita akan dalam keadaan terumbang-ambing. Oleh itu pastikan anak anda mendapat sarapan yang baik.

Terlebih minum jus juga tidak sihat

Dalam laporan Badan Kesihatan Sedunia tahun lalu, 41 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun sama ada kurang berat badan ataupun terlebih berat badan.

Dr Hazreen tidak terkejut dengan hasil laporan tersebut kerana menurutnya, tenaga seseorang bukan hanya didapati melalui pemakanan tetapi juga melalui minuman yang diambil.

Jus buah-buahan mengandungi banyak gula. Oleh itu, adalah lebih elok untuk memberi buah-buahan ini dalam bentuk fizikal dan bukan cecair.

Pada tahun 2016, Dr Hazreen yang bertugas di Universiti Malaya telah menjalankan kajian dan mendapati kanak-kanak dan para remaja ramai telah mengambil lebih banyak minuman bergula dan pada masa yang sama kekurangan kalsium dan serat dalam diet harian.

Apa yang ibubapa boleh lakukan jika kanak-kanak tidak gemar makanan sihat

Terdapat juga ibubapa yang mengalami masalah apabila anak mereka tidak suka memakan sayur sehingga putus asa.

Walau bagaimanapun, kajian menunjukkan bahawa apabila sesuatu makanan itu diberikan kepada kanak-kanak lebih daripada 15 kali, kemungkinan besar untuk kanak-kanak tersebut menerima makanan itu adalah tinggi.

Buah-buahan dan sayuran adalah penting untuk penajaman sistem kognitif dan baik untuk penghadaman. Antioksidan di dalamnya juga penting untuk memastikan perjalanan darah berjalan dengan lancar.

Cadangan pemakanan yang baik untuk kanak-kanak

Sarapan seseorang tidak seharusnya berat. Siapkan oat bersama kismis juga memadai. Untuk makan tengahari pula, pilihlah makanan yang lebih ringan seperti mee sup berbanding nasi lemak.

Walaupun tidak ada masalah untuk makan nasi pada waktu tengahari tetapi ia perlu pada kadar yang berpatutan. Amalkan pemakanan ‘suku-suku-separuh’.

Pada waktu makan malam pula ibubapa boleh beri makanan seperti roti pita atau chapati. Ia merupakan makanan yang mudah untuk dihadam.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker