Seychelles merupakan sebuah negara berkonsepkan republik, yang secara rasminya dinamakan Republik Seychelles.

Ianya merupakan negara kepulauan yang terletak di Lautan Hindi, sekitar 1,500 kilometer dari benua Afrika di bahagian timur.
Negeri itu dibentuk oleh kesatuan 115 buah pulau-pulau kecil, dan menjadikan Victoria sebagai ibukotanya.

SEJARAH KEHADIRAN ISLAM
Islam hadir ke Seychelles melalui jalan laut, dan ini tidaklah menghairankan memandangkan letak geografi kepulauan itu.
Menurut laman Revolvy.com, kehadiran pendakwah Islam adalah jauh lebih terdahulu berbanding penjarah Eropah, dan ini memberi erti bahawa kempen Islamisasi melalui jalan dagang oleh warga Muslim adalah sistematik dan terkehadapan.
Meskipun sedemikian, pada masa kini, populasi warga Muslim di Seychelles cuma sekitar 1.1% (900 orang) daripada keseluruhan populasi di negara itu, yang berjumlah 94,228.

SEYCHELLES SEBAGAI KAWASAN PERLINDUNGAN
Sekalipun bersaiz kecil dan dihuni oleh cuma sekitar 100,000 penduduk, namun itu tidak menghalang populariti negara itu.
Sejarah membuktikan bahawa semenjak zaman dahulu kala, Seychelles seringkali dijadikan tempat perlindungan oleh tokoh-tokoh Islam yang terpaksa berlindung di sana.
Misalnya, Sultan Zanzibar, bekas Perdana Menteri Mesir Sa’d Zaghul serta Abdullah Dfifi Didi, yakni tokoh terkenal Maldives.
Mereka semua melarikan diri ke Seychelles, dan sewaktu di sana mereka diterima dengan baik oleh warga negara itu yang lain.
KEHIDUPAN SEBAGAI MUSLIM
Kerajaan negara Seychelles, menurut U.S Department of State dalam “2005 Report on International Religious Freedom”: –
Memilih untuk tidak mencampuri urusan keagamaan di negara itu…(namun) penganut agama Islam diberikan ruang selama 15 minit untuk bersiaran dalam program radio setiap hari Jumaat…
Pekerja kerajaan dari pelbagai latar belakang agama juga turut diberikan cuti perlepasan bagi menyambut perayaan agama masing-masing…