AntarabangsaAsiaIsu Semasa

Thailand Laksana “Suntikan Maut” Buat Pertama Kali Sejak Tahun 2009

Thailand baru-baru ini telah melaksanakan hukuman mati yang pertama sejak tahun 2009 yang membabitkan seorang banduan berusia 26 tahun, bernama Theerasak Longji.

Memetik laporan Straits Times, banduan tersebut dihukum bunuh menerusi kaedah suntikan maut (lethal injection) di Bang Kwang Central Prison yang terletak di Bangkok, pada hari Isnin.

Menurut Jabatan Pemulihan Thailand, Longji disabitkan bersalah kerana membunuh seorang remaja lelaki berusia 17 tahun pada 2012.

Difahamkan, pesalah juga merupakan individu yang ke-7 untuk menjalani hukuman dengan kaedah berkenaan sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2003, bagi menggantikan hukuman mati menerusi skuad penembak.

Walau bagaimanapun, langkah ini mendapat tentangan dan kecaman hebat oleh kumpulan hak asasi manusia terkemuka, Amnesty International.

Amnesty Thailand menyifatkan hukuman ini sebagai satu cara yang “songsang” untuk mengurangkan kadar jenayah di dalam negara.

“Ini merupakan satu pelanggaran hak asasi manusia yang amat memalukan…Tiada bukti yang menunjukkan bahawa hukuman mati mampu menjadi satu cara yang berkesan, jadi harapan pihak berkuasa untuk mengurangkan jenayah dengan cara ini amat songsang,” kata Katherine Gerson, seorang aktivis Amnesty Thailand.

Ujar beliau lagi, Thailand gagal untuk mengikut anjakan global dalam usaha memansuhkan hukuman mati.

Dalam pada itu, Gerson turut menggesa pihak berkuasa untuk menghentikan sebarang rancangan pelaksanaan hukuman mati pada masa akan datang dengan segera.

“Kerajaan Thai perlu menghentikan rancangan untuk melaksanakan hukuman-hukuman mati yang seterusnya,” tambahnya.

Thailand mempunyai salah satu penjara yang paling ‘penuh’ dengan banduan di seluruh Asia, di mana kebanyakan daripada mereka adalah pesalah-pesalah berkaitan dadah.

Berdasarkan data Jabatan Pemulihan, terdapat seramai 361,030 banduan di dalam penjara Thailand, dan 520 daripada jumlah tersebut sedang menanti hukuman mati.

Sebanyak 35 kesalahan jenayah boleh membawa kepada hukuman mati, termasuk pembunuhan dan penyeludupan dadah.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close