AntarabangsaEropahIsu Semasa

Apa Sebenarnya Berlaku Kepada Hitler Selepas Kekalahannya Dalam WWII?

Pengakhiran diktator ‘popular’, Adolf Hitler telah menjadi satu topik atau ‘misteri’ yang sering diperdebatkan oleh pelbagai pihak, termasuk pakar sejarah.

Terdapat pelbagai teori dan pandangan yang berlainan mengenai nasib Hitler selepas kekalahannya dalam Perang Dunia Kedua (WWII), termasuk:

1. Hitler melarikan diri ke Argentina dengan menggunakan kapal selam

2. Hitler bersembunyi  di sebuah lokasi tersorok di Antartika

3. Hitler membunuh diri dengan menembak dirinya sendiri selepas mengambil sianida

Daripada ketiga-tiga pandangan/teori tersebut, perkara yang ketiga adalah fakta sebenar.

Baru-baru ini, kumpulan penyelidik Perancis telah mengesahkan bahawa perkara sebenar yang berlaku adalah diktator itu tidak melarikan diri ke mana-mana, tetapi sebaliknya mengambil sianida dan kemudian menembak dirinya sendiri di bahagian kepala ketika masih berada di Berlin, Jerman, pada 30 April 1945.

Memetik laporan Telegraph UK, perkara ini berjaya dibuktikan setelah penyelidik mendapat akses terhadap serpihan gigi Hitler yang disimpan di Moscow, Rusia sejak WWII tamat.

Penemuan ini sekaligus membuktikan bahawa segala teori konspirasi yang mendakwa Hitler melarikan diri adalah salah.

“Gigi tersebut adalah asli, tiada sebarang keraguan. Kajian kami membuktikan bahawa Hitler meninggal dunia pada tahun 1945.

“Kita sudah boleh menghentikan semua teori konspirasi mengenai Hitler. Beliau tidak melarikan diri ke Argentina menggunakan kapal selam, tidak berada di sebuah pangkalan rahsia di Antartika atau di tempat-tempat lain,” kata salah seorang penyelidik, Profesor Philippe Charlier.

Difahamkan, gigi tersebut telah diletakkan untuk tujuan pameran pada tahun 2000 di Moscow sempena ulang tahun ke-55 pengakhiran WWII.

Kemudian pada bulan Julai 2017, kerajaan Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) dan pihak arkib negara berkenaan telah membenarkan kumpulan penyelidik Perancis tersebut untuk memeriksa tulang “The Fuhrer” itu buat pertama kali sejak tahun 1946.

Berdasarkan kajian yang dilakukan, terdapat lubang di bahagian kiri tengkorak Hitler yang dipercayai berpunca daripada tembakan peluru.

Selain itu, penyelidik juga mendapati bahawa diktator itu merupakan seorang ‘vegetarian’ selepas memeriksa giginya yang tidak mempunyai sebarang kesan daging.

 

 

 

 

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker