AntarabangsaAsiaIsu Semasa

Kerajaan Tentera Thailand Cadang AS$10 Bilion Untuk Bajet Pertahanan & Keselamatan

Kerajaan Thailand pimpinan tentera mencadangkan AS$10 bilion (RM 39.9 bilion) diperuntukkan untuk bajet pertahanan dan keselamatan negara.

Langkah ini juga dikatakan menjadi “peluang terakhir” untuk mengagihkan peruntukan kepada angkatan tentera sebelum kedatangan pilihan raya umum yang dijangka berlangsung pada Februari 2019.

Memetik laporan Straits Times, perbelanjaan ketenteraan telah meningkat sejak Jeneral Prayut Chan-o-cha menggulingkan kerajaan di bawah pentadbiran Yingluck Shinawatra pada tahun 2014, sekali gus menjadi Perdana Menteri Thailand.

Daripada jumlah AS$10 bilion itu, 7 bilion diperuntukkan bagi tujuan pertahanan manakala 3 bilion lagi adalah untuk pelan-pelan keselamatan bagi menangani “ancaman-ancaman baru, mengekalkan keamanan dan keharmonian, mengekang jenayah transnasional dan serangan siber, serta melindungi institusi diraja Thai.”

Difahamkan, bajet baru ini merupakan sebahagian daripada strategi jangka masa panjang yang dibentangkan pada tahun lepas, di mana ia juga perlu diteruskan oleh pentadbiran lain pada masa akan datang.

Menurut Dr. Paul Chambers, pakar politik Thailand di Naresuan University, bajet ini juga mungkin akan digunakan bagi tujuan “membina dan mengiklankan” parti politik tentera untuk pilihan raya yang akan datang.

“Sejak dahulu lagi, tentera telah menggunakan bajet pertahanan dengan cara demikian,” katanya.

Dalam pada itu, Jeneral Prayut juga kini dilihat lebih memainkan peranan sebagai seorang ahli politik berbanding individu berlatar belakangkan tentera.

Selepas empat tahun pemerintahan tentera, reputasi mereka dilihat semakin terjejas memandangkan pelbagai ‘janji bulan dan bintang’ gagal dilaksanakan.

Ketika menggulingkan kerajaan Yingluck, tentera berikrar untuk menghapuskan gejala rasuah, berjanji untuk memerintah selama dua tahun sahaja dan kemudian memberi laluan semula kepada pentadbiran demokratik.

Walau bagaimanapun, rasuah dilaporkan semakin berleluasa dan pilihan raya umum juga telah ditangguhkan buat beberapa kali di atas pelbagai ‘alasan’.

Insiden rampasan kuasa bukan lagi sesuatu yang asing di Thailand, memandangkan ia sudah berlaku lebih daripada 10 kali dalam sejarah moden negara tersebut.

Penggulingan kuasa turut menyaksikan kejatuhan abang Yingluck, Thaksin Shinawatra yang juga pernah memegang jawatan perdana menteri.

Pichai Naripthaphan, bekas menteri tenaga dan timbalan menteri kewangan berkata, perbelanjaan tentera menyaksikan peningkatan drastik sejak tahun 2006 apabila mereka menggulingkan pentadbiran Thaksin.

“Sekiranya Thailand mahu membangunkan dirinya, bajet Kementerian Pertahanan perlu dipotong wang tersebut boleh diperuntukkan bagi tujuan projek-projek infrastruktur, yang ternyata lebih penting,” katanya.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker