Isu SemasaMalaysiaTempatan

Perak Sasar Pelaburan Bernilai RM9 Bilion Menjelang 2019

Kerajaan negeri Perak di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) akan meningkatkan pelaburan dalam industri teknologi dalam usaha mewujudkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta memberi pulangan yang lebih baik kepada negeri dan pelabur-pelabur.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, beliau telah menerima beberapa kunjungan daripada para pelabur tempatan dan asing yang berminat untuk melabur di dalam sektor berkenaan.

Namun, segala pelaburan yang akan dilakukan perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh kerajaan negeri, termasuk meningkatkan pendapatan kerajaan dan mewujudkan peluang pekerjaan, khususnya bagi generasi muda.

Memetik laporan The Sun Daily, Mohammad Nizar menyatakan bahawa terdapat juga pelabur yang berminat untuk melabur dalam sektor pelancongan dan kesihatan.

Mohammad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri Perak menyasarkan untuk menarik pelaburan bernilai RM 9 bilion menjelang tahun depan.

“Kami meletakkan sasara RM 3 bilion untuk tahun ini, jadi sasaran RM 9 bilion untuk tahun 2019 tidak mustahil untuk dicapai kerana tahap minat (pelabur) untuk melabur di Perak telah meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, jawatankuasa berkenaan sudah bersedia untuk membantu para pelabur dengan mempercepatkan proses permohonan bagi mengelak birokrasi, yang mungkin akan menyebabkan mereka hilang minat sekali gus berpindah untuk melabur di negara-negara lain.

“Apabila proses pelaburan diselesaikan dengan segera, berita (mengenai kepantasan proses pelaburan) akan tersebar sekali gus dapat menimbulkan minat pelabur untuk melakukan pelaburan di dalam negeri,” ujar beliau.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker