Isu SemasaTempatan

50% Taman Permainan Kanak-Kanak Di Malaysia Berbahaya

Apabila cuti sekolah tiba lebih ramai kanak-kanak akan dilihat bermain di taman permainan. Namun 75.6% taman permainan di Malaysia tidak berada pada tahap yang baik.

Masalah Taman Permainan Di Malaysia

Sebuah kajian telah dijalankan ke atas 40 taman dan 50% daripada alat permainan di situ berkarat, patah dan boleh mendatangkan bahaya kepada si kecil.

Selain daripada itu, masalah besar yang dihadapi oleh 64% taman permainan di Malaysia adalah tapak permainan itu sendiri. Ia tidak rata, berlumut dan berlubang. 

Ini merupakan perkara yang sangat kritikal kerana 78% kanak-kanak mengalami kecederaan di taman permainan akibat jatuh. Apatah lagi tapak permainan yang diperbuat daripada simen, ia sememangnya tidak dapat mengurangkan kecederaan tersebut.

Di samping itu, kawasan taman permainan yang kotor dengan sisa buangan yang bahaya juga menjadi kerisauan.

Perkara-perkara seperti ini merupakan masalah yang sudah kian lama terjadi di Malaysia.

Menjamin Keselamatan Taman Permainan Malaysia

Setiausaha Agung Playground Safety Association of Malaysia (PSAM), Noriah Mat berkata sudah tiba masanya untuk para kontraktor mendapatkan latihan untuk membina taman permainan yang lebih selamat dengan susun atur yang betul.

Ini kerana di taman permainan yang sering kita lihat sekarang, buaian dan trek jogging berada sangat berdekatan sehingga mengganggu orang yang berjalan atau berlari.

Noriah Mat berkata penguatkuasa tempatan seharusnya menjalankan audit ke atas semua taman permainan untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi dan menyelesaikannya pada kadar segera.

“Mereka seharusnya bekerjasama dengan badan pemeriksa keselamatan taman (CPSI) untuk dapatkan kontraktor bagi pemasangan dan penyelenggaraan taman permainan,” ujar Noriah.

Perkara ini seharusnya di ambil serius kerana menurut data Kementerian Kesihatan dari tahun 2014-2016, sebanyak 530 kanak-kanak telah dimasukkan ke hospital kerajaan akibat kecederaan di taman permainan.

Pentingnya Taman Permainan Untuk Kanak-kanak

Jikalau kita mahu menggalakkan kanak-kanak untuk keluar bermain dan tidak menggunakan gajet semata-mata, ada baiknya pihak berkuasa memandang serius tentang ini.

Walau bagaimanapun, ibu bapa juga harus memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan kanak-kanak di taman dan cara penggunaan mereka agar tidak disalahguna.

Pastikan juga anak-anak memakai pakaian sesuai untuk bermainan dan tidak menggunakan aksesori seperti rantai atau gelang yang mudah sangkut pada mainan di taman.

Sumber Gambar Imej Terencana: abunuha.wordpress.com

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker