AntarabangsaAsiaIsu Semasa

Thailand & Singapura Turut Merasai ‘Kehangatan’ PRU14

Peralihan kuasa yang dilakukan secara aman susulan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu telah menghantar gelombang kejutan di seluruh Asia Tenggara.

Kekalahan Barisan Nasional (BN) buat pertama kali dalam sejarah Malaysia juga dilihat sebagai satu ‘amaran’ kepada rejim dominan satu-parti, namun dua negara jiran yang paling merasai ‘kehangatan’ tersebut adalah Singapura dan Thailand.

Menurut Brian Martin, editor eksekutif di The Star menerusi penulisannya berjudul “Our Neighbours Feel The GE14 Wave Too”, Singapura diperintah oleh satu parti sejak negara itu mencapai kemerdekaan pada tahun 1959 lagi, iaitu Parti Tindakan Rakyat atau ‘People’s Action Party’ (PAP).

Hal ini dilihat serupa dengan senario di Malaysia, di mana BN telah mentadbir negara selama 60 tahun dan tidak pernah tewas di dalam pilihan raya, sehinggalah ditumbangkan oleh ‘tsunami rakyat’ pada PRU14.

ADAKAH SINGAPURA AKAN MENUKAR KERAJAAN PADA PILIHAN RAYA 2020?

Dalam pada itu, Perdana Menteri ke-7 Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sebuah temu bual bersama Financial Times menyatakan bahawa rakyat Singapura juga mungkin sudah jemu dengan pentadbiran kerajaan yang sama buat tempoh yang lama.

“Saya rasa rakyat Singapura, sama seperti rakyat Malaysia, sudah letih dengan kerajaan yang sama, parti yang sama sejak kemerdekaan,” kata Dr. Mahathir.

Walaupun PAP memenangi 83 daripada 89 kerusi pada pilihan raya 2015, rakyat telah menunjukkan bahawa mereka tidak lagi mahu kerajaan yang berkuasa mutlak.

Namun, Pilihan Raya Umum Singapura pada tahun 2020 nanti menjadi penentu sama ada mereka benar-benar mahukan pertukaran kerajaan atau tidak.

RAKYAT THAILAND MAHU DEMOKRASI DIKEMBALIKAN

Sementara itu, kerajaan pimpinan tentera di Thailand turut merasai gelombang PRU14.

Tentera telah mengambil alih tampuk pemerintahan negara selepas menggulingkan kerajaan pimpinan bekas perdana menteri, Yingluck Shinawatra pada tahun 2014 bagi menamatkan krisis politik yang berlarutan selama 6 bulan.

Pihak tentera yang juga dikenali sebagai National Council for Peace and Order (NCPO) turut berikrar untuk memerangi rasuah secara habis-habisan dan juga mengembalikan pemerintahan demokratik selepas dua tahun memerintah.

Walau bagaimanapun, ‘janji-janji manis’ tersebut dilihat tidak ditunaikan memandangkan NCPO masih lagi memerintah Thailand, pilihan raya ditangguhkan beberapa kali, dan gejala rasuah juga semakin berleluasa.

Oleh yang demikian, rata-rata rakyat membantah pemerintahan tentera dan menggesa agar demokrasi dikembalikan semula.

TENTERA MUNGKIN TIDAK AKAN MELEPASKAN KUASA

Ketika berada di Thailand beberapa minggu lalu, Brian juga berkesempatan untuk bertanyakan pandangan penduduk mengenai keadaan politik di negara itu.

Seorang pemilik restoran bernama Werawat berkata, jeneral-jeneral (pemimpin tentera) mungkin tidak akan melepaskan kuasa mereka.

“Jeneral-jeneral  mungkin tidak akan melepaskan kuasa. Mereka telah berjanji untuk mengadakan pilihan raya demokratik tetapi apabila berlakunya insiden-insiden kecil, mereka menggunakannya sebagai alasan untuk menangguhkan pilihan raya,” katanya.

Bercakap tentang senario politik di Malaysia, Werawat menyatakan bahawa beliau amat terkejut dengan keputusan Hari Mengundi pada 9 Mei lalu.

“Kedua-dua Thailand dan Malaysia mempunyai elemen kepimpinan autokratik yang sama, oleh itu saya terkejut apabila kerajaan lama ditewaskan.

“Namun, saya berasa ragu-ragu perkara yang sama boleh berlaku di sini (Thailand) kerana tentera berkuasa secara penuh,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, malah isu politik wang dan rasuah juga dikatakan masih berada pada tahap yang kritikal, khususnya di kawasan-kawasan pedalaman.

Menurut Werawat, wang tunai 500 baht (RM 62) sudah memadai bagi “membeli undi” memandangkan jumlah itu sudah cukup untuk menyara sebuah keluarga di kawasan pedalaman selama sebulan berbanding kos sara hidup tinggi di Bangkok.

Seorang lagi penduduk Thailand yang hanya dikenali sebagai Pom (bukan nama sebenar), mempercayai bahawa Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha akan bertanding juga di dalam pilihan raya pada bulan Februari 2019 nanti.

“Beliau sudah menyatakannya. Rakyat lupa bahawa mereka yang membenarkan rampasan kuasa untuk berlaku pada 4 tahun lalu.

“Rakyat mengadakan protes di jalanan kerana isu rasuah kerajaan sebelumnya. Terdapat pertumpahan darah dan ini ‘membuka pintu’ untuk campur tangan tentera,” katanya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker