AntarabangsaIsu Semasa

Malaysia Minta Bantuan Jepun Tangani Masalah Kewangan Negara

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah meminta bantuan Jepun untuk memberikan kredit Yen kepada Malaysia dalam usaha menangani masalah kewangan negara.

Dr. Mahathir berkata, permintaan tersebut dikemukakan oleh beliau kepada Perdana Menteri, Shinzo Abe ketika melakukan kunjungan hormat, di mana Abe bersetuju untuk mempertimbangkannya.

“Saya mengingatkan beliau mengenai pinjaman mudah yang diberikan oleh Jepun ketika saya menjadi perdana menteri sebelum ini, di mana kadar faedah adalah 0.7 peratus, perlu dibayar lebih dari 40 tahun. Pada masa itu, ekonomi Jepun dan keadaan kewangannya sangat baik.

“Kali ini kami meminta mereka mempertimbangkan untuk memberi kredit Yen kepada Malaysia dan beliau berkata mereka akan mempertimbangkan,” katanya kepada media pada Selasa.

Memetik laporan The Malaysian Reserve, Dr. Mahathir menyatakan bahawa sekiranya kredit Yen diberikan kepada Malaysia sebagai pinjaman mudah, ia akan mampu mengatasi masalah hutang negara yang berjumlah besar.

Dalam pada itu, kredit Yen pada kadar faedah yang lebih rendah boleh digunakan untuk melangsaikan sebahagian daripada pinjaman kos tinggi sedia ada.

Difahamkan, terdapat antaranya yang mempunyai kadar faedah sebanyak 6%, dan individu-individu yang menguruskan kredit tersebut meraih komisyen sehingga 10%.

“Apabila kita memberi komisyen 10%, ia bermakna bahawa kita mengambil pinjaman bernilai 100 juta (dalam apa sahaja matawang), namun kita hanya dapat 90 juta (selepas komisyen ditolak), tetapi masih perlu bayar faedah untuk pinjaman 100 juta.

“Jadi jika kita ambil 90 juta, tetapi bayar untuk 100 juta, ini bermakna kadar faedah meningkat daripada 6% kepada 7% atau 7.5%. Ini menyebabkan kos pinjaman menjadi terlalu tinggi,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, kos pinjaman dapat dikurangkan jika Malaysia meminjam daripada sumber-sumber lain yang mempunyai kadar faedah yang lebih rendah, sekali gus boleh melangsaikan pinjaman-pinjaman yang lama.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker