AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Selepas Lama ‘Berperang Mulut’, Trump Dan Kim Akhirnya Bertemu

Akhirnya, waktu yang dinanti-nantikan telah pun tiba. Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un akhinya bersemuka sempena sidang kemuncak bersejarah yang berlangsung di Capella Hotel, Singapura.

Sidang kemuncak ini sekali gus menjadikan Trump dan Kim sebagai pemimpin pertama dalam sejarah negara masing-masing untuk bertemu di antara satu sama lain.

Walaupun Trump dan Kim sering kali ‘berperang mulut’, pertemuan mereka pada awal pagi tadi menyaksikan senario yang berbeza apabila kedua-dua pemimpin itu kelihatan amat akrab, mesra dan saling membalas senyuman.

Selepas berjabat tangan selama 12 saat, jutawan hartanah tersebut menyatakan bahawa beliau akan menjalinkan “hubungan yang sangat baik” bersama pemimpin rejim Pyongyang itu.

Sementara itu, Kim, menerusi juru bahasanya berkata, ia bukan sesuatu perkara yang mudah untuk memastikan sidang kemuncak itu akan benar-benar berlangsung.

“Perjalanan untuk ke sini tidak begitu lancar. Kami telah mengatasi pelbagai bentuk halangan yang menutup mata dan telinga kami, berasa berat hati kerana sejarah silam dan prejudis.

“Tetapi, kami tetap berjaya untuk berada di sini,” kata Kim.

Walau bagaimanapun, Kim juga tidak menafikan bahawa akan terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi pada masa-masa akan datang, namun beliau berikar untuk bekerjasama dengan Trump bagi mencari jalan penyelesaian.

Memetik laporan Reuters, kedua-dua pemimpin itu kemudian bergerak ke ruang perpustakaan hotel berkenaan untuk mengadakan sesi perbincangan secara peribadi dan tertutup yang hanya disertai oleh juru bahasa masing-masing.

Selepas 40 minit bertukar idea serta pandangan, Trump dan Kim menuju ke bilik mesyuarat untuk satu lagi pertemuan berkumpulan yang turut disertai oleh pegawai-pegawai kanan mereka.

Dalam pada itu, Kim turut berkata kepada Trump:

“Saya rasa seluruh dunia sedang menyaksikan saat ini. Ramai orang di seluruh dunia akan melihat senario ini seperti babak fantasi….filem fiksyen sains.”

Apabila ditanya oleh wartawan mengenai perkembangan sidang kemuncak itu, Trump menyatakan bahawa semuanya berada dalam keadaan yang sangat baik.

“Sangat baik. Sangat, sangat baik. Hubungan yang baik,” katanya.

Kim juga berasa lega kerana telah berjaya mengatasi spekulasi dan keraguan pelbagai pihak mengenai sidang kemuncak ini dan menaruh harapan untuk mencapai keamanan.

“Kami telah mengatasi pelbagai keraguan dan spekulasi mengenai sidang kemuncak ini dan saya percaya ia adalah bagus untuk keamanan…..Saya percaya ia adalah permulaan yang baik untuk mencapai keamanan,” jelas beliau.

Sekiranya persidangan ini benar-benar membuahkan hasil, ia mampu membawa perubahan positif terhadap landskap keselamatan Timur Laut Asia.

Perkara ini boleh dikaitkan dengan lawatan bekas Presiden AS, Richard Nixon ke China pada 1972 yang kemudian menyumbang kepada transformasi China.

Selain itu, Korea Utara sebelum ini telah bersetuju untuk menghentikan program nuklear (denuklearisasi) hanya jika diberi jaminan keselamatan.

Sejak Perang Korea tamat menerusi gencatan senjata pada tahun 1953 lagi, Pyongyang menganggap dirinya berpotensi/berisiko untuk menjadi ‘mangsa pencerobohan’ AS.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker