Isu SemasaSains

Obor-obor Pulau Pinang Boleh Menyebabkan Bekalan Ikan Berkurangan

Menyaksikan obor-obor berenang di bawah jambatan Pulau Pinang sangat mengujakan jika berkunjung ke Pulau Mutiara tetapi sebenarnya obor-obor ini boleh mendatangkan kemudaratan apabila populasinya tidak terkawal.

Populasi obor-obor boleh berkembang dengan pesat dan membahayakan hidupan laut yang lain.

Bagaimana populasi obor-obor boleh menjadi banyak?

Di tanah besar Pulau Pinang terdapat sebuah kawasan pertanian bernama Valdor yang berkemungkinan besar telah menyumbang kepada populasi obor-obor ini.

Ini kerana hasil tinja yang mengandungi nitrogen, fosforus dan potasium dari haiwan yang diternak di kawasan tersebut tidak dirawat dan dilepaskan ke lautan.

Perkara ini menyebabkan kehadiran plankton mikro yang banyak di lautan sehingga mengurangkan kandungan oksigen.

Menurut Datuk Prof Dr Aileen Tan, pakar biologi marin, obor-obor boleh hidup dengan oksigen yang minimum tetapi ikan perlu oksigen untuk hidup.

Kesan Kehadiran Populasi Obor-obor Yang Tinggi

Apabila populasi obor-obor ini meningkat mendadak, mereka akan memakan larva ikan sehingga tidak sempat untuk ikan ini membesar dan mengurangkan populasi ikan.

Jika perkara sebegini terjadi, kita akan mendapat kekurangan bekalan ikan.

Punca Pencemaran Air Di Pulau Pinang

Menurut sebuah penulisan dalam akhbar TheStar, Valdor terletak berdekatan dengan jambatan kedua Pulau Pinang dengan keluasan 140ha. Ia merupakan tempat ternakan 43 babi dan 57 ladang ayam. Ladang-ladang ini dibina dengan hanya dipisahkan dinding.

Hasil ujian kimia Pusat Kajian Samudera dan Pantai USM (CEMACS) telah mendapati air terusan yang mengalir dari ladang-ladang ini berada pada tahap sangat berbahaya.

“Ia berada pada tahap yang sangat teruk. Tiada hidupan boleh hidup di dalam air sedemikian. Dengan kepekatan seperti itu, apabila ia menyatu dengan air laut, ia sememangnya akan mendatangkan keburukan pada hidupan laut di pantai,” kata Dr Tan.

Terusan yang mengalir selama 4km dari ladang penternakan ini akan mengalir ke Sungai Jawi dan 8km setelah itu ia akan mengalir terus ke laut.

Laporan mengatakan bahawa air tercemar ini adalah 94 kali ganda lebih tinggi dari paras Kelas Ke-5 (Air yang teramat tercemar) seperti yang diklasifikasikan oleh Kementerian Alam Sekitar.

Langkah Yang Dilakukan Oleh Pihak Berkuasa

Walaupun ladang tersebut telah hadir sejak 20 tahun yang lalu tetapi apabila terdapat pembangunan di selatan Seberang Perai untuk penduduk kelas menengah telah diluluskan di situ, keadaan semakin teruk.

Pengerusi  Komuniti Alam Sekitar Negeri, Phee Boon Poh berkata kerajaan negeri sudah ambil maklum tentang hal ini tetapi pembangunan di selatan Seberang Perai adalah penting untuk penduduk Pulau Pinang akibat daripada kepadatan penduduk di pulau.

Menurut beliau, para petani perlu membantu menangani masalah ini dan mereka diberi masa sehingga tahun 2019 untuk memastikan sistem pertanian tertutup dijalankan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker