AntarabangsaAsiaIsu SemasaPolitik

Bekas PM Thailand Akan Buat ‘Comeback’ Seperti Dr. Mahathir?

Kemenangan bersejarah Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu telah memberi inspirasi kepada penyokong-penyokong Parti Demokrat di Thailand untuk meminta bekas pemimpin mereka, Chuan Leekpai, 79, agar kembali semula dalam arena politik.

Memetik laporan Bernama, Chuan yang juga bekas perdana menteri di negara itu kini memegang jawatan penasihat bagi Parti Demokrat, namun para penyokong dan sekutunya mahu mencadangkan beliau sebagai calon perdana menteri sekali gus membuat ‘comeback’ seperti Dr. Mahathir.

Difahamkan, parti berkenaan mahu menamatkan era pemerintahan tentera di bawah pimpinan Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha yang menggulingkan kerajaan demokrasi sebelumnya pada tahun 2014.

“Saya percaya ramai orang menyokongnya (Chuan), namun setakat ini beliau menyatakan bahawa beliau tidak berminat. Tetapi, ia (keputusannya) mungkin berubah pada masa akan datang,” kata ahli Demokrat, Abhisit Vejaviva, yang juga bekas perdana menteri Thailand.

Ketua Parti Demokrat, Alongkorn Ponlaboot turut menzahirkan sokongan beliau terhadap Chuan untuk kembaliĀ  memimpin negara tersebut.

“Selepas Mahathir kembali menjadi perdana menteri pada usia 92 tahun, ramai orang terfikirkan Chuan sebagai alternatif.

“Beliau adalah simbol kejujuran. Jika Parti Demokrat melakukan reformasi dan mempunyai visi baru, ia mampu mewujudkan ‘fenomena Mahathir’ di sini,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik berpandangan bahawa sekiranya dua parti politik utama Thailand iaitu Demokrat dan Pheu Thai bergabung untuk menewaskan tentera dalam pilihan raya umum akan datang, mereka dijangka akan memilih Chuan sebagai perdana menteri.

Tetapi, terdapat juga beberapa pihak pemerhati yang meramalkan bahawa Prayut akan menang dalam pilihan raya sekali gus memegang jawatan itu lagi.

Namun baru-baru ini, Chuan menegaskan bahawa beliau tidak akan membuat ‘comeback’ mahupun menjadi calon perdana menteri Parti Demokrat.

“Saya sudah pasti tidak akan menjadi salah seorang calon,” ujarnya.

Chuan telah menjadi perdana menteri Thailand buat pertama kali pada tahun 1992 sehingga 1995, dan kemudian kembali semula memegang jawatan itu pada 1997 sehingga 2001.

Berikutan keputusan beliau untuk tidak bertanding, Parti Demokrat terpaksa bergantung kepada Abhisit untuk membawa kemenangan pada pilihan raya akan datang.

Seperti yang termaktub dalam Seksyen 88 Perlembagaan Thailand, setiap parti politik perlu mengisytiharkan sehingga tiga nama calon perdana menteri kepada Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum kempen pilihan raya bermula.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker