AntarabangsaIsu Semasa

Pembedahan Plastik Di Singapura Seawal Umur Usia 12 Tahun

Korea Selatan adalah negara yang terkenal dengan prosedur pembedahan plastik. Ramai pelancong dari seluruh dunia sanggup datang ke Korea untuk menggunakan kepakaran doktor di sana.

Kini, Korea Selatan bukan lagi negara yang ingin mencapai kesempurnaan wajah. Pembedahan plastik semakin mendapat tempat di kalangan remaja Singapura.

Gadis-gadis semuda 12 tahun mula menjalani pembedahan plastik untuk kelihatan lebih cantik dan berasa lebih yakin dengan diri sendiri. Terdapat juga di antara mereka yang melakukannya untuk kelihatan lebih matang daripada rakan sebaya.

Antara prosedur pembedahan yang menjadi permintaan adalah pembesaran payu dara, rinoplasti, implan dagu, dan pembedahan kelopak mata di mana kulit di sekeliling mata diubah untuk kelihatan lebih besar dan bulat.

Prosedur tanpa bedah, yang mana lebih selamat dan cepat, termasuk Botox untuk mendapat bentuk muka V dan pengisi (fillers) untuk menyerlahkan lagi bentuk hidung dan dagu mereka.

Menurut pakar bedah plastik, terdapat 10% hingga 30% peningkatan di kalangan remaja yang meminta prosedur pembedahan sejak lima tahun lepas, dan kebanyakan daripada mereka berusia pertengahan hingga lewat remaja.

Hal ini membimbangkan kerana walaupun pelbagai amaran telah diberi tentang risiko pembedahan plastik, namun begitu ibu bapa mereka sendiri telah menggalakkan perkara ini berlaku dengan menghadiahkan pembedahan sebagai hadiah hari jadi atau jika mereka mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Walaupun gadis-gadis muda ini perlu mendapat kebenaran ibu bapa untuk melakukan pembedahan, ibu bapa lebih terbuka untuk bersetuju dengan permintaan mereka. Ada juga ibu bapa yang sanggup menghabiskan perbelanjaan sehingga mencecah S$25,000 (RM74,200).

Menurut pakar bedah plastik, J.J. Chua dari JJ Chua Rejuvenative Cosmetic & Laser Surgery, klinik mereka tidak melakukan pembedahan kosmetik kepada sesiapa berumur di bawah 18 tahun. Beliau berkata, “jika pembedahan dilakukan ketika akil baligh, hasilnya mungkin akan berbeza kerana wajah akan berubah mengikut pembesaran dan kemungkinan besar pembedahan lain diperlukan pada masa akan datang.”

Para kaunselor juga berpendapat bahawa remaja tidak memiliki kematangan emosi untuk memahami risiko yang terlibat di dalam proses ini.

Praveen Nair, seorang ahli psikologi di Raven Counselling and Consultancy, menambah bahawa para remaja tidak mungkin boleh meningkatkan keyakinan diri untuk jangka masa panjang dengan hanya menggunakan pembedahan kosmetik.

Malah ada yang mungkin menggunakan prosedur seperti ini sebagai tongkat yang boleh membuatkan mereka terlalu bergantung kepada pembedahan plastik. Hal ini disebabkan mereka tidak mempelajari bagaimana untuk berdepan dengan isu imej badan.

Show More

Related Articles

Back to top button