AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Pedro Sanchez Bawa Harapan Baru Untuk Sepanyol

Pemimpin parti Sosialis, Pedro Sanchez telah dipilih untuk menjadi Perdana Menteri Sepanyol yang baru apabila bekas penyandang jawatan itu, Mariano Rajoy ‘digulingkan’ berikutan undi tidak percaya di Parlimen.

Peristiwa ini merupakan sejarah baru bagi Sepanyol kerana Rajoy menjadi Perdana Menteri yang pertama untuk dijatuhkan selepas negara itu beralih kepada sistem pemerintahan demokrasi pada tahun 1997.

Memetik laporan AFP, usul undi tidak percaya tersebut sebelum ini dikemukakan oleh Sanchez akibat skandal rasuah yang berlaku dalam kalangan anggota parti pemerintah di bawah pentadbiran Rajoy sehingga mencetuskan kemarahan rakyat.

“Ia adalah satu penghormatan paling besar untuk menjadi Perdana Menteri Sepanyol…..Kuasa politik anda, Rajoy, sudah berakhir,” kata Sanchez.

 

KURANG KUASA DI DALAM PARLIMEN

Difahamkan, Parlimen Sepanyol mempunyai 350 kerusi, dan seramai 180 ahli Parlimen telah memberi sokongan terhadap undi tidak percaya itu sekali gus menjadi majoriti mutlak.

Walau bagaimanapun, kerajaan baru pimpinan Sanchez adalah kerajaan minoriti memandangkan parti Sosialisnya hanya memiliki 84 kerusi di dalam Parlimen.

Oleh kerana bilangan kerusi yang sedikit, Sanchez akan mengalami kesukaran dan pelbagai cabaran untuk memerintah Sepanyol kerana sebarang keputusan kerajaan akan perlu bergantung kepada sokongan pihak Podemos berhaluan kiri dan juga penggubal undang-undang kebangsaan Basque dan Catalan.

Hal ini juga menimbulkan tanda tanya tentang berapa lama kerajaan beliau mampu bertahan dengan kekurangan kuasa di dalam Parlimen.

 

ANGGOTA KABINET “CERMINAN TERBAIK DALAM MASYARAKAT”

Perdana Menteri baru tersebut sebelum ini berjanji untuk mengadakan pilihan raya baru jika usul undi tidak percaya itu mencatatkan kejayaan.

Tetapi sebelum itu, beliau berhasrat untuk memulihkan institusi kerajaan Sepanyol terlebih dahulu dan akan mentadbir negara sehingga tahun 2020 sebelum mengadakan pemilihan baru.

Bercakap mengenai barisan menteri baru, anggota kabinet Sanchez didominasi oleh 11 orang wanita diikuti 6 lelaki.

Menurut beliau, barisan kabinetnya adalah “cerminan yang terbaik dalam masyarakat”, memandangkan ia mempunyai individu pelbagai latar belakang, tua dan muda.

 

PULIHKAN HUBUNGAN DENGAN WILAYAH CATALONIA

Sementara itu, antara cabaran utama yang perlu dihadapi oleh Sanchez adalah cara untuk menangani krisis yang wilayah Catalonia yang menyaksikan pentadbiran kerajaan tempatan nasionalis yang baru.

Tetapi, ramai pihak berpandangan bahawa beliau mampu memulihkan semula hubungan di antara kerajaan pusat Sepanyol dan kerajaan Catalonia.

Walaupun beliau pernah menyokong rancangan Rajoy untuk mengambil alih pemerintahan Catalonia secara langsung selepas pemimpin-pemimpin pemisah mengisytiharkan kemerdekaan wilayah itu, Sanchez dilihat menjadi lebih ‘jinak’ apabila usul undi tidak percayanya disokong oleh ahli Parlimen Catalan.

Justeru itu, Sanchez berikrar untuk bekerjasama atau ‘membina jambatan’ bersama kerajaan pemisah baru Catalonia.

Pada 1 Oktober 2017, kerajaan wilayah Catalonia telah mengadakan sebuah referendum (pungutan suara) untuk menuntut kemerdekaan daripada Sepanyol.

Ia merupakan sebuah wilayah berautonomi yang mempunyai perundangan dan eksekutif yang tersendiri.

Catalonia mempunyai populasi penduduk seramai 7.5 juta orang dan 948 bandar di seluruh wilayah itu, di mana bandar yang terbesar adalah Barcelona yang mempunyai kira-kira seramai 1.6 juta penduduk.

Wilayah berautonomi tersebut mahu menuntut kemerdekaan kerana ingin menentukan nasib dan hala tuju mereka sendiri kerana mempunyai ekonomi yang kukuh, pelbagai kepercayaan politik serta kaya dengan budaya.

Ramai rakyat di sana mempercayai bahawa Catalonia lebih banyak menyumbang kepada Sepanyol, tetapi tidak mendapat pulangan atau keuntungan yang setimpal dengan sumbangan yang telah diberikan, khususnya dari segi ekonomi.

Bercakap tentang soal identiti pula, Catalonia mempunyai bendera dan bahasa mereka sendiri yang dikenali sebagai ‘Catalan’.

Bahasa Catalan dikatakan mempunyai status atau darjat yang sama rata dengan bahasa Sepanyol.

Selepas penandatanganan Perlembagaan Sepanyol pada tahun 1978, Catalonia sudah pun diberi hak dan kuasa untuk mentadbir dengan sendiri.

Namun begitu, mahkamah perlembagaan Sepanyol menyebabkan kemarahan rakyat wilayah itu apabila mengeluarkan keputusan yang mengehadkan tuntutan rakyat Catalonia untuk menjadikan wilayah itu sebagai negara bebas, sekali gus mencetuskan ombak baru nasionalisme.

Jose Montilla, presiden Catalonia pada waktu itu, menyifatkan keputusan mahkamah sebagai “serangan terhadap maruah rakyat Catalonia”.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker