Isu SemasaMalaysiaTempatan

Malaysia Akan Berjaya Jika Ikut Jejak Langkah Jepun

Malaysia boleh menjadi sebuah negara yang maju dan berjaya sekiranya rakyat Malaysia mengikuti jejak langkah Jepun dari segi etika bekerja, pemikiran, sistem nilai, dan juga perasaan malu sekiranya gagal untuk melakukan sebarang tugasan dengan baik.

Memetik laporan The Sun Daily, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan bahawa Dasar Pandang Ke Timur yang mula diperkenalkan pada tahun 1980-an bukan hanya bertujuan untuk menarik masuk pelaburan dari Jepun atau menggalakkan pelajar mereka untuk menyambung pengajian di Malaysia semata-mata.

“Ia juga mengenai mengamalkan etika bekerja serta perasaan malu warga Jepun apabila mereka gagal untuk memenuhi apa yang telah dijanjikan,” kata beliau dalam lawatan rasminya ke Jepun baru-baru ini.

Lebih mengagumkan lagi, rakyat Jepun bukan sahaja mempunyai etika bekerja yang bagus, malah semangat juang mereka juga merupakan satu perkara yang wajar dicontohi.

Dr. Mahathir berkata, beliau amat kagum dengan bagaimana masyarakat Jepun ‘menghidupkan’ semula negara mereka selepas musnah ketika Perang Dunia Kedua (WW2) akibat serangan bom atom yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS).

“Saya melihat penduduk Jepun bekerja sangat keras untuk membina semula negara mereka dan jelas sekali, Jepun menjadi salah sebuah negara ekonomi terbesar di dunia dengan pantas.

“Daripada sebuah negara yang musnah dan tewas, Jepun berjaya dibangunkan semula dengan kadar pantas dan berkesan,” katanya.

Rakyat Jepun juga amat berbangga dalam menghasilkan produk-produk berkualiti tinggi yang mampu bersaing dengan jayanya dengan barangan di negara-negara lain.

Namun tegas beliau, Malaysia masih belum mempunyai sistem nilai ini seperti Jepun dan kualiti barangan juga tidak dijadikan sebagai keutamaan.

“Tetapi di Malaysia, kita tidak mempunyai sistem nilai ini, kita tidak berasa malu jika kita menghasilkan produk-produk yang tidak berkualiti….(dan) perkara yang anda lakukan adalah baik atau tidak dilihat tidak menjadi kepentingan,” tambahnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir menjelaskan bahawa usaha untuk menghapuskan gejala rasuah menjadi keutamaan kerajaan pimpinannya.

“Sekiranya rasuah dihapuskan, kita boleh menjimatkan 30% wang kita (negara) yang boleh digunakan untuk pelbagai perkara lain,” jelas beliau.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker