Sukan

Kerajaan Ghana Bubar Persatuan Bola Sepak Atas Skandal Rasuah

Kerajaan Ghana telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka telah mula membubarkan Persatuan Bolasepak Ghana (GFA) setelah satu siasatan undercover membongkarkan dakwaan amalan rasuah di antara para pengadil dan kaitan mereka bersama presiden persatuan, Kwesi Nyantakyi.

Satu kenyataan oleh Kementerian Maklumat mengatakan kerajaan sangat “terkejut dan marah” setelah melihat kandungan siasatan yang telah dilakukan wartawan Anas Aremeyaw Anas.

“Dokumentari itu mendedakan kegagalan menjijikan oleh Persatuan Bolasepak Ghana, yang dipenuhi dengan penipuan, korupsi serta rasuah,” tertulis di dalam kenyataan yang ditandatangani oleh menteri Maklumat, Mustapha Abdul-Hamid.

Kementerian itu berkata mereka terpaksa mengambil tindakan berikutan “‘kekotoran’ di dalam GFA yang semakin berleluasa” dan mereka telah “mengambil langkah untuk membubarkan GFA.”

Di dalam kenyataan itu turut memberitahu bahawa kerajaan akan mengumumkan langkah sementara untuk mentadbir bola sepak sementara menunggu badan baru dibentuk.

Mereka juga akan memberitahu FIFA dan Konfederasi Bolasepak Afrika mengenai keputusan itu.

Menteri Belia dan Sukan, Isaac Asiamah berkata pembubaran itu bermakna segala aktiviti bolasepak di dalam negara ini akan diberhentikan seketika.

“Segala aktiviti bolasepak akan diberhentikan seketika.

“Liga akan digantung sehingga diberitahu, termasuk segala aktiviti dan program yang dijalankan oleh Persatuan Bolasepak Ghana.”

Asiamah berkata ia adalah keputusan yang sukar untuk dibuat, dan mereka sedar bahawa ia akan “mendorong” FIFA untuk memberi perhatian terhadap perkara ini, kerana polisi mereka yang melarang campur tangan kerajaan di dalam persatuan kebangsaan.

Ghana berisiko digantung daripada undi tuan rumah Piala Rumah 2026 minggu depan, selepas mereka dilihat akan mengundi Maghribi selaku rakan negara Afrika menentang gandingan undi AS, Kanada dan Mexico.

Mana-mana hukuman oleh FIFA akan turut menjejaskan pasukan wanita bawah-17 tahun mereka, yang kini sedang dalam persiapan untuk Piala Dunia Bawah-17 Tahun; kelab teratas Aduana Stars yang kini sedang berentap di Piala Konfederasi CAF; serta pasukan kebangsaan lelaki yang bakal bermain di tiga perlawanan kelayakan Piala Afrika pada tahun ini.

Di dalam dokumentari yang berdurasi 2 jam bertajuk “Apabila Haloba Dan Rasuah Adalah Perkara Biasa,” yang dikeluarkan pada hari Rabu baru-baru ini, beberapa orang pengadil Ghana serta pegawai didakwa dilihat menerima hadiah dalam bentuk wang tunai untuk mengatur perlawanan di dalam Liga Perdana Ghana, termasuklah di antara pasukan Hearts of Oak dan Asante Kotoko, dan perlawanan bola sepak di pelbagai peringkat.

Presiden GFA, Nyantakyi turut dapat dilihat di dalam dokumentari itu, sedang berunding untuk mendapatkan 25 peratus daripada perjanjian tajaan yang sepatutnya diperolehi oleh persatuan, ke dalam syarikat miliknya.

Nyantaki yang juga naib presiden CAF serta ahli lembaga FIFA, membeitahu wartawan yang menyamar sebagai seorang ahli perniagaan berjaya yang berminat menaja Liga Perdana Ghana bahawa dia boleh membawa satu syarikat asing sebagai ejen kepada “perjanjian” dan mengenakan bayaran di antara 20-25 peratus daripada GFA.

Selepas menonton beberapa bahagian dokumentari itu bulan lepas, presiden Ghana, Nana Akufo-Addo meminta pihak polis untuk menyiasat Nyantakyi, yang membawa kepada penahanannya.

Pengadil dari Kenya, Aden Marwa Range telah menarik diri daripada Piala Dunia selepas turut dikaitkan dengan skandal rasuah itu.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close