Isu SemasaMalaysiaTempatan

Undang-Undang Keselamatan Negara Akan Diteliti Semula

Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk melakukan semakan semula ke atas undang-undang keselamatan sedia ada yang mungkin bercanggah dengan hak asasi manusia.

Muhyiddin berkata, jawatankuasa tersebut ditubuhkan pada minggu lepas dan ia dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

“Kami akan melihat dan meneliti semula undang-undang berkenaan yang termaktub di bawah Kementerian Dalam Negeri.

“Antara yang dibangkitkan adalah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

“Matlamat kami adalah untuk menentukan dalam melaksanakan undang-undang dalam negara supaya rakyat tidak terasa ia digunakan untuk tujuan politik, bagi menghukum pihak-pihak tertentu disebabkan perbezaan ideologi dan sebagainya,” ujar beliau pada Isnin┬ádi Majlis Berbuka Puasa bersama penduduk setempat di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda.

Memetik laporan The Sun Daily, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menyatakan bahawa langkah untuk mengkaji semula undang-undang sedia ada ini merupakan salah satu perkara berkaitan isu keselamatan yang terkandung di dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Ia terkandung di dalam janji-janji PH, iaitu mana-mana undang-undang yang dianggap mempunyai elemen-elemen kezaliman, penindasan, ketidakadilan dan yang mungkin dianggap bertentangan dengan hak asasi manusia, serta undang-undang yang tidak berapa jelas pelaksanaannya akan dikaji secara menyeluruh,” jelasnya.

Namun menurut Muhyiddin, usaha ini mungkin akan mengambil masa dan apabila siap, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama pihak-pihak berkepentingan untuk menjelaskan sama ada pindaan yang dicadangkan adalah mencukupi atau sesuai sebelum dibawa kepada jemaah menteri (Kabinet) dan kemudian ke Parlimen.

Sementara itu, beliau turut dilaporkan berkata pada 22 Mei lalu bahawa kementeriannya akan mengkaji semula tujuh undang-undang keselamatan negara yang didapati tidak lagi relevan pada keadaan semasa.

Undang-undang tersebut adalah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1948, hukuman gantung sampai mati, Akta Perhimpunan Aman 2012, POCA, SOSMA, dan POTA.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close