AntarabangsaIsu Semasa

Laut China Selatan: China Perlu Tangani Campur Tangan AS Dengan Tegas

Hubungan di antara dua kuasa dunia, Amerika Syarikat (AS) dan China dilihat menjadi semakin keruh berikutan ‘perang mulut’ dalam pelbagai perkara termasuk isu Laut China Selatan.

Baru-baru ini, Setiausaha Pertahanan AS, Jim Mattis mendakwa bahawa China sedang ‘mententerakan’ kawasan perairan yang dipertikaikan itu.

Sebagai ‘serangan balas,’ China menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu perkara yang tidak masuk akal.

“Kehadiran tentera AS di Laut China Selatan lebih hebat daripada China dan gabungan negara-negara lain yang mengelilingi lautan itu,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying.

Memetik laporan Reuters, Hua juga mempersoalkan sama ada operasi “kebebasan bernavigasi” tentera laut AS benar-benar untuk menjaga hak kapal-kapal untuk belayar menerusi rantau itu atau ia hanya sekadar cubaan untuk mengekalkan hegemoni atau dominasi mereka di kawasan perairan berkenaan.

“Hal ini ibarat kes ‘seorang pencuri cuba menghalang pencuri lain’ bagi menutup salah laku sendiri,” tegasnya.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Pertahanan, Ren Guoqiang pula berkata, pihaknya menyedari bahawa Washington dilihat mengabaikan fakta sebenar dan sengaja menghangatkan lagi isu ‘militarisation’ atau usaha Beijing untuk mententerakan Laut China Selatan.

Tegas Ren, tiada satu pun negara yang mempunyai hak untuk mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab mengenai usaha China bagi membina fasiliti pertahanan di wilayahnya sendiri.

Menurut tabloid kerajaan China, The Global Times, negara itu perlu bersedia untuk bertindak balas secara tegas bagi menangani sebarang bentuk campur tangan “ekstrim” AS di lautan berkenaan.

“Selain daripada mengerahkan senjata pertahanan di kepulauan Spratly, China juga perlu menubuhkan satu sistem pencegahan yang kukuh, termasuk pangkalan udara dan laut serta pasukan tentera laut bergerak,” kata tabloid tersebut.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker