Isu SemasaMalaysiaTempatan

Apakah Rancangan Pemimpin Muda Untuk Negara?

Pada Selasa 5 Jun 2018, Sinar Harian telah mengadakan sesi wacananya ke-61 yang berjudul “Pelan Pemimpin Muda untuk negara.”

Wacana berkenaan dikendalikan oleh moderator, saudara Mohd Amin Idris dan menampilkan tiga ahli panel  muda iaitu:

1. Syed Saddiq Syed Abdul Rahman – Ketua Pemuda Bersatu merangkap Ahli Parlimen Muar

2. Syahir Sulaiman – Pengarah Strategi Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

3. Syahredzan Johan – Peguam

Sesi perbincangan tersebut menyaksikan pelbagai idea dan cadangan konstruktif yang dikemukakan oleh kesemua panel yang terlibat dalam usaha memajukan negara serta memperkasakan rakyat, khususnya anak muda.

Berikut adalah beberapa cadangan yang diketengahkan:

SYED SADDIQ

Menurut Syed Saddiq, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) amat komited untuk mengangkat dan memartabatkan suara anak muda.

Beliau berkata, perkara ini boleh dilihat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu apabila PH menampilkan paling ramai calon muda untuk bertanding berbanding gagasan-gagasan lain seperti Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Barisan Nasional (BN).

Difahamkan, seramai 104 orang calon muda PH berusia 35 tahun ke bawah telah diberi peluang untuk bertanding di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jelas Syed Saddiq, langkah itu telah diambil dalam usaha menjadi ‘party of the future’ (parti masa depan).

“Kerana nanti orang kata, kalau kita serius tentang anak muda, kenapa kita tidak mahu mencalonkan mereka?

“Kenapa kita hanya mendengar suara mereka, tetapi di dalam parlimen kita hanya berikan suara tersebut kepada mereka yang sudah berumur 50 tahun ke atas? Jadi dalam Pakatan Harapan, kita serius tentang perkara ini,” katanya.

Selain itu, ahli parlimen Muar itu menyatakan bahawa beliau akan memastikan universiti-universiti tanah air bebas daripada sekatan dan campur tangan politik.

“Saya ada visi di mana saya nak pastikan universiti-universiti terbaik di Malaysia untuk mengadakan debat dan dialog berkenaan isu-isu semasa pada setiap minggu.

“(Menerusi ini), kita dapat menghimpunkan wakil kerajaan, pembangkang, PAS, BN, PH, tokoh-tokoh akademik, bersama para ahli perniagaan, untuk mendebatkan isu-isu semasa,” tegasnya.

Ujar Syed Saddiq, platform ini akan memastikan institut pengajian tinggi benar-benar menjadi tempat ilmuan sekali gus dapat melahirkan generasi berfikiran kritikal dan golongan intelektual yang boleh menjaga masa depan Malaysia.

SYAHIR SULAIMAN

Pentadbiran PAS di negeri Kelantan telah mempamerkan prestasi yang baik sejak tahun 1990 lagi, di bawah pimpinan Allahyarham Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar.

Syahir Sulaiman berkata, Kelantan merupakan model kerajaan yang berintegriti, di mana pentadbiran negeri itu bebas daripada gejala rasuah, kronisme dan nepotisme.

Sehubungan dengan itu, antara kejayaan besar bagi negeri tersebut adalah pertumbuhan ekonominya juga bebas dari riba’ kerana mengamalkan pengurusan kewangan berlandaskan prinsip Islam.

“Sesiapa yang mengkaji perkembangan industri kewangan dan perbankan Islam akan mengiktiraf jasa besar kerajaan negeri Kelantan.

“Sekarang ini, Malaysia menjadi hab kepada perbankan dan kewangan Islam di dunia dan antara reformasi yang dibuat di Kelantan pada tahun 1990 itu adalah antara lonjakan kepada penerimaan umum, kerajaan, dan rakyat kepada institusi kewangan Islam,” kata beliau.

Walaupun kerajaan negeri itu disifatkan sebagai ‘miskin’, namun Syahir menegaskan bahawa rakyat Kelantan tidak miskin kerana mempunyai kuasa membeli yang tinggi sekali gus menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi.

“Sepatutnya, pemaju, peneraju, pemandu utama ekonomi negara ini adalah rakyat dan juga pelabur, diikuti oleh perbelanjaan kerajaan,” jelasnya.

Bagi meneruskan legasi yang cemerlang ini, beliau mencadangkan agar Kelantan mengembangkan lagi sektor pendidikan memandangkan negeri tersebut adalah hab kepada ilmu Islam, pengajian budaya, sosiologi dan sebagainya.

Ujar Syahir, Kelantan juga berpotensi untuk menjadi hab dalam pelbagai bidang lain termasuk pelancongan Islamik, industri desa, usahawan digital serta industri kreatif Islam.

SYAHREDZAN JOHAN

Dari aspek pelaksanaan manifesto parti-parti politik, Syahredzan Johan berpandangan bahawa rakyat perlu menjadi “barisan pembangkang yang utama” demi memastikan semua kerajaan melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Bagi merealisasikan agenda pemerkasaan rakyat, Syahredzan telah menggariskan beberapa teras yang wajar untuk dilaksanakan.

Pertama sekali, kekangan undang-undang ke atas rakyat perlu dileburkan. Ini bermakna, undang-undang sedia ada yang menyekat kebebasan bersuara rakyat termasuk Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia perlu disemak semula.

Langkah ini bertujuan untuk membolehkan rakyat menyuarakan kritikan secara terus kepada kerajaan tanpa dikenakan tindakan.

“Akta Hasutan sering kali digunakan untuk tujuan politik dan bukan tujuan yang mereka (kerajaan) katakan,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, kritikan rakyat tidak boleh melampaui batas sehingga melakukan ugutan untuk membunuh pemimpin atau menggulingkan kerajaan.

Sekiranya berlaku ugutan seumpamanya, Syahredzan menegaskan bahawa pihak berkuasa perlu mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas individu-individu terbabit.

Perkara yang kedua, rakyat juga perlu tahu terlebih dahulu tentang isu-isu yang timbul dan menyuarakan pandangan secara rasional dan berasas.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar Majlis Media ditubuhkan bagi mengawal selia etika kewartawanan tanpa campur tangan kerajaan.

“Siapa yang terbaik untuk menentukan etika kewartawanan telah dicabuli atau dilanggar kecuali orang media sendiri?

“Jadi kita perlu wujudkan Majlis Media tersebut untuk menjadi satu cara supaya media boleh ‘self-regulate’ (melakukan penyeliaan dengan sendiri),” ujarnya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button