Isu SemasaMalaysiaTempatan

Ramai Pengguna Dron Masih Tidak Tahu Peraturan Penerbangan

Unmanned Aerial Vehicle (UAV) atau lebih dikenali sebagai dron merupakan pesawat kecil yang diterbangkan dengan menggunakan alat kawalan jauh.

Sejak kebelakangan ini, penggunaan dron bagi tujuan rekreasi dan penggambaran dilihat semakin popular di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Oleh itu, pihak berkuasa perlu mempertimbangkan pengeluaran lesen untuk menerbangkan dron memandangkan alat itu juga berpotensi untuk digunakan bagi tujuan salah sehingga boleh menggugat keselamatan negara, seperti kegiatan mengintip dan sebagainya.

Namun menurut William Alvisse, Persatuan Aktivis Drone UAV Malaysia (Mudas), perlu ada keseimbangan di antara inovasi dan undang-undang, kerana peraturan yang terlalu ketat akan menyekat perkembangan inovasi.

Mudas merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang memfokuskan pembangunan dan kemajuan dron di Malaysia.

“Pada mulanya, kami bimbang jika kerajaan akan mengharamkan dron sepenuhnya. Oleh itu, kami mahu menubuhkan satu komuniti untuk mengawal selia dan memastikan dron digunakan secara bertanggungjawab,” katanya.

Memetik laporan The Star, Alvisse menyatakan bahawa peraturan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) masih terlalu umum dan lebih tertumpu kepada mengekalkan jarak selamat untuk menerbangkan dron, walaupun terdapat banyak perdebatan mengenai keperluan untuk mendapatkan permit dan lesen.

Difahamkan, Mudas sedang berbincang bersama CAAM untuk mewujudkan modul latihan dan sijil untuk juruterbang dron.

Buat masa ini, juruterbang dron komesil diselia dan perlu mendapatkan pelbagai permit untuk menerbangkan dron.

Organisasi tersebut juga sedang bekerjasama dengan Pacific Insurance Bhd dalam usaha mewujudkan pelan insurans, yang akan memberi perlindungan sekiranya dron berkenaan menyebabkan kerosakan harta atau kecederaan peribadi.

“Saya meramalkan bahawa semua syarikat akan memiliki sekurang-kurangnya sebuah dron. Pada masa akan datang, ia bukan sahaja kemewahan, tetapi menjadi satu keperluan,” jelas Alvisse.

Sementara itu, beliau turut membuat perbandingan di antara menerbangkan dron dan memandu kenderaan.

“Semua orang boleh belajar cara untuk memandu, tetapi persoalannya, adakah anda mempunyai lesen dan tahu mengenai peraturan untuk memandu dengan selamat?,” soalnya.

Berdasarkan pengalamannya, Alvisse berkata, terdapat ramai juruterbang rekreasi yang pandai mengambil gambar, namun mereka tidak mengetahui peraturan dan undang-undang untuk penerbangan dron.

“Apabila anda menerbangkan (dron), anda berkongsi ruang (udara) dengan pihak lain. Jika anda tidak terbang dengan bertanggungjawab, anda mencemarkan komuniti dron secara keseluruhan,” tegas beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button