Amerika SyarikatAntarabangsaIsu Semasa

Kakitangan Google Bantah Kerjasama Dengan Tentera AS

Jumaat lepas, syarikat internet gergasi, Google dilaporkan menarik diri daripada sebuah perjanjian dikenali sebagai ‘Project Maven’, yang bertujuan untuk membantu tentera Amerika Syarikat (AS) menggunakan teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI).

Memetik laporan AFP, penarikan itu dilakukan kerana perjanjian berkenaan telah mencetuskan kemarahan kakitangan-kakitangan Google yang membantah penglibatan syarikat tersebut dalam ‘perniagaan peperangan.’

Bagi menzahirkan bantahan mereka, para pekerja mengadakan petisyen dalaman yang telah menerima ribuan sokongan dan tandatangan.

Bukan itu sahaja, malah terdapat juga segelintir pekerja yang sanggup meletak jawatan sebagai tanda protes terhadap kerjasama Google dengan pihak tentera.

Bantahan-bantahan yang dilakukan ternyata berkesan apabila Google memutuskan untuk tidak memperbaharui kontrak perjanjian berkontroversi itu yang akan tamat pada tahun depan.

“Kami mempercayai bahawa Google tidak sepatutnya terlibat dalam perniagaan peperangan.

“Oleh itu, kami menggesa pembatalan Project Maven, dan Google pula perlu merangka, mewartakan, dan menguatkuasakan dasar dasar/polisi jelas yang melarang Google atau kontraktornya daripada membangunkan teknologi peperangan,” menurut petisyen kakitangan.

Kontrak berkenaan dikatakan bernilai kurang daripada AS$10 juta (RM39.7 juta), namun ia dianggap mempunyai potensi untuk membawa kepada lebih banyak “kerjasama yang menguntungkan” dalam jangka masa panjang.

Difahamkan, Project Maven menggunakan teknologi AI dengan bantuan manusia untuk membezakan manusia dan objek dalam video yang dirakam oleh dron untuk Jabatan Pertahanan.

Sementara itu, kumpulan-kumpulan hak asasi internet, Electronic Frontier Foundation (EFF) dan International Committee for Robot Arms Control (ICRAC) turut menyokong pergerakan yang dilaksanakan oleh kakitangan Google.

“Memandangkan komander-komander tentera mahu memastikan keberkesanan algoritma pengesanan objek, mereka melihat ia adalah lebih baik untuk mengurangkan atau menghapuskan terus peranan manusia dalam memantau sistem-sistem ini.

“Kemudian, kita semakin hampir untuk mengendalikan dron-dron berautonomi untuk membunuh secara automatik, tanpa pengawasan atau kawalan manusia,” kata ICRAC dalam satu surat terbuka.

Walau bagaimanapun, Google menjelaskan bahawa segala usaha dan kerja menaik taraf kemampuan mesin/teknologi bukan bertujuan untuk kegunaan perang.

EFF turut menegaskan keperluan untuk mewujudkan rangka kerja moral dan etika mengenai penggunaan AI dalam persenjataan.

“Penggunaan AI dalam sistem senjata adalah satu topik yang amat mustahak dan ia memerlukan perbincangan antarabangsa secara umum serta perjanjian antarabangsa bagi memastikan keselamatan global,” kata EFF.

Show More

Related Articles

Back to top button