AntarabangsaIsu Semasa

Pengkritik Vladimir Putin ‘Bangkit Dari Kematian’

Selasa lalu, seorang wartawan terkemuka Rusia yang juga pengkritik tegar Presiden Vladimir Putin dilaporkan telah “ditembak sehingga mati” di Ukraine ketika beliau sedang melarikan diri berikutan pelbagai ugutan yang diterima.

Memetik laporan Reuters, Arkady Babchenko, 41, dikatakan menghembuskan terakhirnya di dalam ambulans selepas isterinya menemui beliau sudah berlumuran darah di rumah mereka.

Menurut pihak polis, pembunuhan Babchenko disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan profesionalnya sebagai wartawan perang terkenal di negara itu.

Difahamkan, beliau pernah berkhidmat dalam tentera dan apabila menceburi bidang media, Babchenko terpaksa melarikan diri dari Rusia pada tahun 2017 kerana bimbang dengan keselamatan dirinya, apabila lantang dalam mengecam dasar luar kerajaan negaranya ke atas Ukraine dan Syria.

MELAPORKAN PELBAGAI KONFLIK, TERMASUK TEMBAKAN MH17

Sebagai seorang wartawan perang, Babchenko telah membuat liputan ke atas pelbagai konflik peperangan, termasuk tembakan pesawat Malaysia Airlies MH17 di timur Ukraine pada bulan Julai 2014.

Minggu lepas, pasukan penyiasat mendakwa bahawa Rusia merupakan dalang disebalik insiden berkenaan, namun perkara itu berulang kali dinafikan sekeras-kerasnya oleh kerajaan negara itu.

Selain daripada kes MH17, beliau turut memberi kritikan hebat terhadap Kremlin mengenai pengeboman yang dilakukan di bandar Aleppo dalam perang saudara Syria.

Menurut seorang ahli parlimen Ukraine, Anton Gerashchenko, “rejim Vladimir Putin akan menyasarkan mana-mana individu yang tidak dapat ‘dipatahkan’ atau ditakutkan.”

BANGKIT DARI KEMATIAN?

Walaupun Babchenko dilaporkan telah “mati dibunuh”, beliau sebenarnya masih hidup dan terpaksa memalsukan kematiannya.

Sehari selepas ‘kematian’ Babchenko, para hadirin di sebuah sidang media yang berlangsung di Ukraine mengalami kejutan luar biasa apabila beliau tiba-tiba muncul di sana.

Pada sidang berkenaan, wartawan itu ditemani oleh beberapa orang pegawai dari Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU).

Akhirnya, Babchenko mendedahkan bahawa kematiannya terpaksa dipalsukan sebagai langkah untuk mengesan pihak-pihak tertentu yang cuba merancang plot pembunuhannya.

“Melalui rancangan ini, kami dapat merungkai plot mereka yang merancang untuk membunuhnya,” kata jurucakap SBU, Vasyl Grytsak.

Tambah pegawai tersebut, plot pembunuhan Babchenko telah dirancang lebih daripada tempoh dua bulan.

Dalam pada itu, beliau turut tidak lupa untuk meminta maaf kepada isteri tercinta bernama Olga kerana telah mendatangkan kebimbangan dan kesedihan besar ke atas dirinya.

“Saya memohon maaf terutamanya kepada isteri saya, Olga. Saya tahu dia sangat sedih dan terkejut, tetapi memang tidak ada cara lain lagi.

“Yang penting rancangan ini telah menyelamatkan nyawa saya,” jelas Babchenko.

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close