AntarabangsaIsu Semasa

Lanjutan Tempoh Visa Ekspatriat ‘Hidupkan’ Semula Industri Hartanah UAE

Bulan lepas, kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah memutuskan untuk melanjutkan visa bagi sesetengah golongan profesional warga asing (ekspatriat) kepada 10 tahun.

Langkah ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada golongan berkenaan, tetapi ia juga akan memberi sinar baru kepada industri hartanah yang sudah sekian lama berada dalam keadaan tidak menentu.

“Perubahan (tempoh) visa ini ternyata akan membantu merangsang permintaan bagi hartanah kediaman dan komersil.

“Pasaran hartanah di seluruh UAE telah berdepan dengan cabaran berat sejak kejatuhan harga minyak hampir empat tahun lalu,” kata Faisal Durrani, ketua penyelidikan global di syarikat broker hartanah, Cluttons.

Tambah beliau, pasaran itu turut terjejas berikutan ancaman bekalan lebihan serta kekurangan perumahan mampu milik.

Memetik laporan Bloomberg, keputusan untuk melanjutkan tempoh visa ini telah diumumkan Perdana Menteri UAE dan pemimpin Dubai, Sheikh Mohammed Bin Rashid.

Ia merupakan sebahagian daripada perancangan-perancangan negara yang diluluskan oleh kabinet dalam usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

Rancangan ini dijangka akan berkuatkuasa pada tahun ini dan tempoh visa selama satu dekad akan ditawarkan kepada kumpulan-kumpulan berikut:

1. Pakar perubatan

2. Pakar penyelidikan saintifik

3. Pakar bidang saintifik

4. Pelajar-pelajar cemerlang

Bukan itu sahaja, malah UAE juga akan memansuhkan undang-undang lama yang melarang warga asing daripada memiliki/membuka syarikat di negara itu.

 

Sebaik sahaja pengumuman itu dilakukan, saham beberapa syarikat hartanah tempatan dilihat terus melonjak naik.

Difahamkan, pasaran hartanah di Dubai lebih berorientasikan rakyat tempatan kerana spekulator-spekulator asing hampir ‘menenggelamkan’ UAE ke dalam krisis kewangan pada tahun 2009.

Kejadian tersebut mendorong kerajaan dan bank pusat UAE untuk mengawal kegiatan ‘house flipping’ dalam kalangan warga asing, di mana individu-individu tertentu akan membeli hartanah pada harga yang murah dan kemudian menjualnya pada harga yang leibh tinggi untuk mendapat keuntungan.

Kegiatan itu sekali gus menyebabkan keselamatan jangka panjang penduduk asing sebagai faktor penting dalam mencari pembeli-pembeli rumah berpotensi.

Walau bagaimanapun, harga hartanah telah merudum di kedua-dua Dubai dan Abu Dhabi, dan ini menyebabkan syarikat pemaju untuk menawarkan pakej pembelian rumah yang turut merangkumi kenderaan mewah.

Sementara itu, walaupun pelaksanaan lanjutan visa dianggap sebagai langkah yang tepat, tetapi ia tidak cukup untuk memberikan jaminan status penduduk tetap kepada golongan ekspatriat.

“Langkah penting seterusnya bukan untuk menawarkan kerakyatan penuh kepada ekspatriat, tetapi sebaliknya menganggap mereka seolah-olah sebagai warga tempatan, menerusi permit penduduk tetap,” kata Durrani.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close