Isu SemasaMalaysiaTempatan

Penjualan Spesis Haiwan Dilindungi Semakin Berleluasa Di Media Sosial

Penjualan spesis haiwan liar dilindungi secara atas talian (online) dilihat semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Ahli Biologi Hidupan Liar, Dr. Wong Siew Te berkata, beliau mendapati bahawa perniagaan-perniagaan seumpamanya beroperasi dengan aktif di media sosial seperti Facebook dan Instagram.

Dr. Wong juga amat terkejut apabila ternampak sebuah akaun Instagram menjual anak-anak beruang matahari.

Menurutnya, akaun itu mempunyai lebih daripada 500 posting yang mengiklankan pelbagai anak spesis haiwan dilindungi untuk dijual.

“Spesis-spesis (haiwan) dilindungi yang ditawarkan termasuk spesis yang amat terancam seperti anak tenuk (Malayan Tapir), beruang matahari, ungka, kucing hutan, burung helang juvenile raptor, burung enggang, musang, dan pelbagai lagi.

“Ibu-ibu hidupan liar juga kemungkinan telah dibunuh oleh pemburu haram untuk mengambil anak-anaknya,” kata beliau.

Memetik laporan The Star, Dr. Wong terkenal dengan penyelidikan/kajiannya mengenai beruang matahari dan inisiatif beliau dalam mengasaskan Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC) di Sandakan, Sabah.

Walaupun penjualan haiwan-haiwan terbabit adalah satu kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Haiwan Liar 2010, beliau menyatakan bahawa masih terdapat ratusan anak haiwan dilindungi dibunuh, ditangkap dan dijual sebagai haiwan peliharaan untuk keuntungan peribadi sesetengah individu.

Di laman Facebook BSBCC, Dr. Wong telah mengongsikan video yang beliau temui di akaun Instagram yang mengiklankan penjualan beruang matahari.

“Beruang matahari merupakan spesis yang dilindungi sepenuhnya di Barat Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Tiada sesiapa yang dibenarkan untuk menjual, membunuh, menyimpan dan memiliki mana-mana bahagian badan beruang itu,” tegasnya.

Memandangkan perniagaan menjual haiwan atas talian aktif dijalankan di semenanjung, Dr. Wong telah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Sekiranya kita berdiam diri dan memutuskan untuk tidak melakukan apa-apa, hutan kita akan menjadi kosong tidak lama lagi,” kata beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button