AntarabangsaAsiaIsu Semasa

Kim Jong-Un Serius Untuk Hentikan Program Senjata Nuklear

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un telah memaklumkan kepada Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov mengenai pendirian tegasnya untuk menamatkan program senjata nuklear di Semenanjung Korea.

Memetik laporan agensi berita rasmi Pyongyang, KCNA, “Kim Jong-un menyatakan bahawa hasrat Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) untuk denuklearisasi tidak berubah dan kekal konsisten.”

Ketua rejim itu juga berharap agar isu hubungan di antara Amerika Syarikat (AS) dan Korea Utara serta denuklearisasi di semenanjung itu akan diselesaikan secara berperingkat.

Sehubungan dengan itu, Kim menggesa supaya penyelesaian isu-isu terbabit dilakukan menerusi dialog dan rundingan yang efektif dan konstruktif.

Minggu lepas, Presiden AS Donald Trump telah mengumumkan secara mengejut pembatalan sidang kemuncak bersejarah yang dijadualkan berlangsung di Singapura pada 12 Jun ini.

Menurut Trump, pembatalan itu dilakukan kerana Pyongyang mempamerkan kemarahan dan permusuhan yang terbuka menerusi kenyataan-kenyataan mereka.

Namun beberapa hari kemudian, jutawan hartanah itu menerusi laman Twitternya mengesahkan bahawa beliau akan berjumpa dengan Kim pada tarikh berkenaan.

“Sekumpulan pegawai Amerika Syarikat telah tiba di Korea Utara untuk melakukan persediaan bagi sidang kemuncak antara Kim Jong Un dan saya sendiri.

“Saya percaya Korea Utara mempunyai potensi besar dan ia akan beri manfaat ekonomi dan kewangan satu hari nanti. Kim Jong Un bersetuju dengan saya. Ia (pertemuan ini) akan terjadi!,” kata Trump.

Difahamkan, Washington mahu melihat Pyongyang benar-benar melepaskan semua senjata nuklear mereka dan sebagai balasan, AS akan menarik sekatan ekonomi yang telah dikenakan ke atas Korea Utara.

Walau bagaimanapun, penganalis berpandangan Korea Utara tidak akan menghentikan program nuklearnya selagi ia tidak mendapat jaminan keselamatan bahawa AS tidak akan cuba untuk menggulingkan mereka.

Berdasarkan transkrip yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Rusia, Lavrov memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi dan perlu mengelak daripada membuat pelbagai tuntutan ke atas rejim tersebut.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker