AntarabangsaAsiaIsu Semasa

India Dan Pakistan Kuatkuasakan Perjanjian Gencatan Senjata

Ribuan penduduk di negeri Jammu dan Kashmir akhirnya boleh pulang semula ke rumah masing-masing yang terletak di sempadan Pakistan-India.

Memetik laporan Reuters, kira-kira 50,000 orang awam terpaksa menetap di bangunan sekolah dan kolej di wilayah Kashmir yang dipertikaikan berikutan pertempuran bersenjata di antara tentera India dan Pakistan sejak beberapa minggu lalu.

Pergunungan Kashmir dibahagikan di antara kedua-dua negara nuklear itu, di mana mereka telah terlibat dalam tiga peperangan sejak tahun 1947 untuk merebut wilayah itu.

Difahamkan, keadaan menjadi semakin tegang apabila sebuah kem tentera India diserang pada bulan Februari, di mana India kemudian menuduh Pakistan sebagai dalang.

Walau bagaimanapun, Pakistan menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dilemparkan ke atas mereka itu.

Pertempuran baru-baru ini telah mengorbankan 12 nyawa manakala ramai lagi turut tercedera.

Namun pada Selasa 29 Mei 2018, tentera kedua-dua pihak bersetuju untuk menguatkuasakan perjanjian gencatan senjata 2003 secara menyeluruh sekali gus menamatkan konflik tersebut.

Tetapi, menurut Bacchan Lal, ketua kampung Abdullian di Jammu dan Kashmir, perjanjian-perjanjian sedemikian selalunya “tidak bertahan lama.”

Bacchan telah melarikan diri dari rumah dan tinggal di sebuah kolej bersama 350 orang penduduk lain sejak dua minggu lalu.

“Mereka bersetuju untuk menghormati gencatan senjata itu buat beberapa kali setiap tahun, namun kemudian akan melanggar (perjanjian) itu semula.

“Kami tidak mahu ketidaktentuan ini. Kami mahukan keamanan kekal seperti yang telah dinikmati 30 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, seorang petani bernama Chuni Lal turut bimbang kerana konflik yang berlaku memperlahankan proses menuai beras Basmati pada tahun ini.

Chuni berkata, petani seperti dirinya tidak boleh terlepas musim menuai utama kerana ia akan menjejaskan sumber pendapatannya.

Oleh yang demikian, dia menggesa Pakistan dan India untuk mencari penyelesaian yang berpanjangan bagi menangani kesan negatif hasil daripada pertempuran yang berlaku.

Ketua Menteri Jammu dan Kashmir, Mebooba Mufti turut menyokong dan mengalu-alukan penguatkuasaan perjanjian gencatan senjata itu.

“Ini membawa kelegaan besar kepada orang ramai yang menetap di sekitar kawasan itu. Keamanan di sempadan kami merupakan langkah pertama yang penting untuk mewujudkan persefahaman yang lebih besar (di antara Pakistan dan India) dan saya harap ia akan berkekalan,” ujar beliau.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker