AntarabangsaAsiaIsu Semasa

Saintis China Yang Tidak Berintegriti Akan Dihukum

Baru-baru ini, kerajaan China telah mengeluarkan garis panduan baru dalam usaha meningkatkan ketelusan dan integriti dalam bidang sains.

Memetik laporan Reuters, ini termasuk pelan untuk merekod dan menilai kelakuan para saintis serta institusi-institusi berkaitan dan menghukum sesiapa sahaja yang didapati terbabit dalam salah laku.

Garis panduan tersebut telah dikeluarkan oleh parti pemerintah Parti Komunis dan Majlis Negeri/Kabinet pada 30 Mei, di mana ia turut melarang plagiarisme, pemalsuan data dan hasil penyelidikan, penulis hantu, serta manipulasi ulasan yang dilakukan oleh rakan penyelidik.

Difahamkan, langkah ini dikuatkuasakan susulan pelbagai skandal yang pernah berlaku sebelum ini, yang melibatkan penyelidikan palsu dan plagiarisme, antaranya.

Masalah ini sekali gus menjejaskan reputasi dani imej China secara menyeluruh di dalam dunia penyelidikan saintifik.

“Mana-mana individu yang melanggar peraturan integriti akan dikenakan hukuman berlandaskan undang-undang.

“Mereka yang didapati terbabit dalam salah laku akademik akan diharamkan daripada mengajar atau melakukan sebarang bentuk kerja penyelidikan di sekolah-sekolah kerajaan dan institusi-institusi saintifik,” menurut garis panduan tersebut.

Bukan itu sahaja, individu yang disabitkan bersalah juga akan berdepan pembatalan geran penyelidikan serta penarikan pemberian pangkat atau darjah penghormatan.

Dalam pada itu, Kementerian Sains dan Teknologi akan memikul tanggungjawab untuk menyelaraskan dan menguruskan penguatkuasaan garis panduan ini dalam bidang-bidang saintifik, manakala Chinese Akademi of Social Sciences pula akan memainkan peranan yang sama dalam bidang sains sosial.

Berdasarkan laporan agensi berita Xinhua, kementerian tersebut telah bercadang untuk mewujudkan “mekanisme amaran jurnal untuk meletakkan mana-mana jurnal akademik tempatan atau antarabangsa yang mengetepikan kualiti akademik demi mendapat bayaran tinggi” di dalam senarai hitam.

Ini bermakna, kertas penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal-jurnal terbabit tidak akan diiktiraf dalam apa sahaja bentuk penilaian.

Yang paling penting sekali, pelaksanaan garis panduan baru ini bertujuan untuk mengubah standard penilaian saintis agar mereka dinilai berdasarkan integriti, bukan sahaja penghasilan penyelidikan dan projek.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker