AntarabangsaAsiaIsu Semasa

Uber Berganding Bahu Dengan Syarikat Teksi Di Jepun

Jepun mengenakan undang-undang ketat terhadap perkhidmatan perkongsian kenderaan (e-hailing) demi menjaga industri teksi di negara itu.

Namun baru-baru ini, syarikat Uber Technologies Inc. telah berjaya ‘memenangi hati kerajaan’ apabila mendapat kelulusan untuk melaksanakan program perintis perkongsian teksi Jepun.

Mulai bulan Jun ini, Uber akan menghubungkan pemandu dan penumpang tempatan di pulau terpencil Awaji, yang mempunyai sekitar 120,000 orang penduduk serta puluhan syarikat teksi.

Pulau itu juga mempunyai salah sebuah jambatan gantung yang terpanjang di dunia selain daripada menjadi destinasi mendaki yang popular dalam kalangan pelancong.

Berdasarkan statistik kerajaan, kira-kira 12.8 juta pelancong telah melawat pulau itu dalam tempoh 12 bulan bermula dari bulan Mac 2016 sehingga Mac 2017.

Memetik laporan Bloomberg, program yang akan berlangsung sehingga bulan Mac 2019 ini merupakan kejayaan kecil bagi Uber yang telah mematuhi undang-undang tempatan dengan baik sejak syarikat itu mula beroperasi di Jepun lima tahun lalu.

Difahamkan, Uber telah menawarkan perkhidmatan perkongsian kenderaan di Tokyo dan ia bukan bertujuan untuk ‘menjejaskan periuk nasi’ industri teksi yang bernilai 1.72 trilion yen (RM 61.8 bilion).

Kini, pentadbiran Perdana Menteri, Shinzo Abe berhasrat untuk menggunakan teknologi Uber bagi mempromosikan sektor pelancongan di Awaji, di mana syarikat itu akan bekerjasama dengan syarikat teksi tempatan.

Ini sekali gus memberi peluang kepada Uber untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai jenis perkhidmatan yang ditawarkan dengan memainkan peranan sebagai perantara atau ‘orang tengah’ di antara teksi dan penumpang.

Sekiranya program ini berjaya, syarikat berkenaan mempunyai peluang cerah untuk meluaskan perkhidmatannya di pasaran-pasaran yang lebih besar di kepulauan itu.

“Sementara kami berganding bahu dengan syarikat-syarikat teksi tempatan dan pejabat pentadbiran daerah Awaji, kami juga akan bekerjasama untuk memperkayakan penawaran produk yang pertama seumpamanya di Jepun bagi memenuhi keperluan penduduk tempatan,” kata Brooks Entwistle, Ketua Pegawai Perniagaan Antarabangsa Uber.

Sehubungan dengan itu, program perintis ini adalah inisiatif yang pertama seumpamanya yang diperkenalkan berikutan lawatan Ketua Pegawai Eksekutif Uber, Dara Khosrowshashi ke Jepun pada bulan Februari.

Ketika lawatan tersebut, beliau membentangkan beberapa strategi untuk menjalinkan hubungan perniagaan bersama syarikat-syarikat teksi.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker