AntarabangsaIsu Semasa

Sarkas Di Rusia “Penyelamat” Kanak-Kanak Berisiko

Masalah sosial dalam kalangan golongan muda dan kanak-kanak merupakan satu isu kritikal yang perlu diberi perhatian serius.

Seorang wanita di Rusia telah mengambil pendekatan unik bagi menangani isu ini dengan menubuhkan sarkas bukan sahaja untuk tujuan hiburan, tetapi juga menjadi ruang bagi kanak-kanak kurang upaya dan kurang bernasib baik untuk mengubah hidup mereka ke arah lebih baik.

Dikenali sebagai Upsala Circus “for delinquents” (sarkas untuk kanak-kanak bermasalah), sarkas itu telah menerima anugerah teater yang tertinggi walaupun tentangan daripada sesetengah pihak berkuasa negeri.

“Semua kanak-kanak dan khususnya kanak-kanak yang berisiko memerlukan sesuatu yang menarik, sesuatu yang ‘cool’ bagi memberi mereka tenaga dan keinginan untuk mengubah hidup mereka,” kata Larisa Afanasyeva, pengasas dan pengarah artistik Upsala.

Memetik laporan AFP,  Afanasyeva telah menubuhkan sarkas itu pada tahun 2000 bersama seorang pelajar Jerman, Astrid Shorn,  bagi memberi peluang kepada golongan muda yang berisiko untuk mengembangkan bakat dan potensi diri mereka.

Lebih menarik lagi, kedua-dua wanita berkenaan memulakan usaha mereka dengan “tangan kosong,” tanpa sebarang pembiayaan dari mana-mana pihak, termasuk kerajaan.

Sebelum ini, Upsala Circus tidak mempunyai ruang latihan yang sesuai dan oleh itu, kumpulan-kumpulan yang terlibat terpaksa berlatih di taman-taman awam di bandar Saint Petersburg.

Afanasyeva menyifatkan penubuhan sarkas itu sebagai “impian yang menjadi realiti” memandangkan ia berjaya membawa perubahan besar dalam kehidupan belia-belia yang menyertainya.

Lima tahun lalu, Upsala akhirnya menerima pembiayaan oleh pihak swasta sekali gus mampu membeli khemah yang merangkumi arena utama dan ruang latihan.

Kini, terdapat kira-kira 70 orang kanak-kanak dari kalangan keluarga miskin, anak yatim, atau kurang upaya telah datang ke Upsala dan mengambil bahagian dalam pelbagai bentuk persembahan, terutamanya akrobatik.

Secara purata, sarkas itu menyaksikan penglibatan sekitar 45 orang kanak-kanak pada setiap tahun.

Bulan lepas, sebuah persembahan yang dilakukan oleh kanak-kanak sindrom down telah memenangi anugerah di acara ‘Golden Mask’ yang mengiktiraf kehebatan teater di Moscow.

“Kami mengajar kanak-kanak untuk menjadi bebas dan ia adalah satu prospek yang menakutkan.

“Pihak berkuasa hanya mahu kanak-kanak tersebut untuk tidak mendatangkan masalah, tetapi kami sebaliknya memupuk kebebasan dan seni,” kata beliau.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button