Hiburan

Muzium Memperkenalkan Bau Muntah Untuk Beri Sentuhan Realistik

Sebuah muzium di New Zealand telah memperkenalkan elemen daya hidu dalam sebuah pameran bagi memberi pengalaman unik buat pengunjung.

Muzium ini menawarkan pengunjung bau-bauan unik dan realistik dalam sebuah pameran yang mengisahkan tentang perjalanan peneroka Eropah pertama ketika dalam perjalanan ke New Zealand.

Ia menggambarkan perjalanan peneroka-peneroka pertama ke New Plymouth, bandar utama di rantau Taranaki di pantai barat North Island.

Kelvin Day, pengurus muzium Puke Ariki New Plymouth, berkata mereka ingin menceritakan bagaimana perjalanan kira-kira 1,000 peneroka yang datang dari Devon dan Cornwall untuk memulakan hidup baharu di Taranaki.

Pengunjung boleh menggambarkan kesusahan perjalanan yang harus ditempuhi mereka dengan menghidu bauan perjalanan mereka, termasuk bau tali, tar, baju kotor, hapak dan juga bau muntah.

Walaupun nama muzium tersebut iaitu “Puke” (muntah) begitu sesuai dengan pameran ini, ia sebenarnya bermaksud “bukit” dalam bahasa Maori.

Rumusan bauan itu diimport daripada sebuah syarikat British yang pakar dalam penciptaan haruman unik tersendiri. Syarikat Aroma Prime juga menjual aroma lain seperti najis badger, ahli sihir terbakar dan dinosaur.

Kapal peneroka The William Bryan tiba di Taranaki pada 31 Mac 1841 dengan membawa 134 orang Briitsh yang membina asas penempatan yang kini merupakan tempat tinggal untuk hampir 60,000 orang.

Show More

Related Articles

Back to top button