Isu SemasaMalaysiaTempatan

Mengapa Harga Barang Meningkat Sejak Pelaksanaan GST?

Cukai Barang dan Perkhidmatan atau lebih popular dikenali sebagai GST telah diperkenalkan pada 1 April 2015 pada kadar 6% bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) 10%.

Walaupun GST dikatakan mampu mengurangkan harga barang, namun pelaksanaannya di Malaysia telah dipersoalkan oleh pelbagai pihak kerana ia sebaliknya menyaksikan peningkatan harga barang.

MENGAPA HARGA BARANG MENINGKAT?

Dalam Wacana Sinar ke-60 “Sifar GST: Apa Rakyat Perlu tahu?” yang berlangsung pada jam 3 hingga 5 petang tadi, salah seorang panelis yang juga Naib Canselor UKM, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan menyatakan bahawa kesan GST terhadap harga barang merupakan salah satu daripada pelbagai faktor lain.

Konteks yang lebih besar adalah peningkatan kos sara hidup yang telah bermula sejak awal tahun 2015 lagi, sebelum pelaksanaan GST.

Apabila GST diperkenalkan, ia menjadi bebanan tambahan yang menyumbang kepada fenomena kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Disebabkan perubahan-perubahan yang begitu ketara dalam pertumbuhan ekonomi, struktur ekonomi dan cara hidup masyarakat hari ini, dan kemudian apabila GST diperkenalkan, ia (GST) menjadi satu “cerita tambahan” yang menyumbang (kepada peningkatan kos sara hidup),” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, harga barang yang meningkat bukan sahaja berpunca daripada pelaksanaan GST, namun ia juga melibatkan pelbagai faktor lain, termasuk pertukaran mata wang Ringgit yang lemah berbanding US Dolar.

“Harga sebetulnya naik bukan kerana GST sahaja…..kalau kita tanya betul-betul kepada peniaga, mengapa harga naik?

“Harga naik sebab duit ringgit kita dah jadi lemah, dah teruk sangat…Sebab itu harga naik,” jelas beliau.

Jelas seorang lagi ahli panel, Datuk Abdul Aziz Abu Bakar, Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), dari segi mekanisme, pakar-pakar ekonomi di seluruh dunia bersetuju bahawa GST merupakan satu instrumen cukai yang efektif bagi membangunkan hasil negara.

Namun di Malaysia, terdapat kelemahan dalam penguatkuasaannya serta isu komunikasi dengan rakyat.

Hal ini sekali gus menyebabkan peningkatan harga barang, walhal pelaksanaan GST yang sebenar sepatutnya menyumbang kepada penurunan harga.

“Mengapa ini berlaku? Bila kita nak perkenalkan GST pada April 2015, kebanyakan peniaga sudah menaikkan harga barang pada bulan Oktober, November, dan Disember 2014.

“Bila KPDNKK masuk pada bulan Januari, Februari dan Mac 2015, harga telah pun dinaikkan,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, kerajaan sebelum ini juga sepatutnya menghapuskan SST terlebih dahulu sebelum memperkenalkan GST.

Langkah ini bertujuan untuk mewujudkan “transition period” atau tempoh peralihan selama 6 bulan bagi memastikan harga barang menurun dahulu.

“Pastikan harga barang turun dulu, selepas itu (pemansuhan SST), barulah laksanakan GST,” kata Abdul Aziz.

APABILA GST 0%, ADAKAH HARGA BARANG AKAN MENURUN?

Kini, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) telah mengumumkan bahawa GST dengan kadar 6% akan disifarkan (0%) mulai 1 Jun ini, dan kemudian digantikan semula dengan SST pada 1 September.

Namun persoalannya, adakah harga barang benar-benar akan turun apabila cukai tersebut berkadar sifar?

“Pada 1 hari bulan Jun, peniaga lain saya tidak tahu, tetapi di Mydin harga akan menurun 6%,” kata Dr. Ameer Ali.

Namun tegas beliau, semua orang perlu tahu bahawa GST ditetapkan pada kadar 6%, tetapi cara pengiraan bagi penolakan harga barang selepas pemansuhannya adalah 5.66%.

Sekiranya harga barang tidak turun selepas 1 Jun, beliau menasihatkan pengguna agar tidak terus marah dan beri peniaga masa untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

“Harga akan turun, tetapi sabar….terdapat banyak barang di kedai-kedai…boleh jadi label di barang itu tidak sempat ditukar.

“Jadi, jangan marah-marah dulu….pergi dekat customer service (perkhidmatan pelanggan) dan tanya mengapa harga masih belum turun,” jelasnya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker