Isu SemasaTempatan

Rakyat Gesa Akta Kesaksamaan Gender Digubal

Baru-baru ini Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dijemput sebagai tetamu undangan khas bagi satu program Facebook Live.

Apabila menerima satu panggilan masuk, pemanggil tersebut memberi beberapa ‘teguran’ berkaitan penampilan dan cara pemakaiannya.

Lelaki yang dikenali sebagai Azrul itu memberi komen berbaur sensatif terhadap Nurul Izzah dengan mengatakan tudungnya pernah terselak sehingga menampakkan bentuk badan.

“Lepas ni YB kena berhati-hati sikit sebab kadang-kadang YB pakai tudung kan, tudung YB kadang-kadang terselak tau. Dan kadang-kadang nampak part yang tak sepatutnya lah,” tegur Azrul.

Sebelum menamatkan panggilan, Azrul sempat menambah lagi teguran bersifat sensitif itu.

“Pasal hari itu saya nampak baju dalam semua, nampak buah dada,” kata Azrul lagi.

Kejadian itu telah mengundang kemarahan orang ramai yang menyifatkan ‘teguran’ tersebut sebagai gangguan seksual.

Maria Chin Abdullah, Ahli Parlimen Petaling Jaya mengutuk komen yang dibuat oleh pemanggil tersebut, mengatakan teguran yang diberi adalah gangguan seksual dan menekankan perlu adanya undang-undang baru berkaitan gangguan seksual, termasuk Gender Equality Act (Akta Kesaksamaan Gender).

“Komen yang dibuat dalam rancangan bual bicara langsung terhadap Nurul (Izzah) adalah satu gangguan seksual. Kita perlu mula namakan jenayah ini dan tidak lagi berselindung memanggilnya dengan nama lain.

“Ia dilakukan dengan niat untuk mengganggu dan menjadikan topik bual tidak relevan. Dia (pemanggil) langsung tidak memberikan soalan berkaitan topik yang dibincangkan” katanya.

Selain itu, dua kumpulan hak asasi manusia menggesa undang-undang gangguan seksual yang lebih jelas dilaksanakan di Malaysia.

Memetik satu kajian, “Amalan Diskriminasi Dan Gangguan Seksual Antara Wanita Yang Bekerja Di Malaysia”, Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Kualiti (Wafiq) dan Pusat Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) mengatakan majoriti wanita dalam kajian itu tidak mengemukakan sebarang aduan rasmi kerana mereka tidak mempercayai mekanisme sedia ada untuk mangsa gangguan seksual adalah berkesan.

Macsa berkata terdapat banyak kes yang tidak dilaporkan kerana wanita mungkin tidak menyedari jika apa yang mereka alami bersifat gangguan seksual.

Mereka memetik kajian yang dijalankan selama tempoh enam bulan dan melibatkan 402 wanita yang berumur antara 18 dan 59 tahun.

Kajian tersebut mendapati bahawa 43.9% responden telah mengalami gangguan seksual termasuk pandangan, gerak geri, isyarat atau komen yang tidak diingini di tempat kerja, manakala 33.7 % mengatakan bahawa mereka sendiri mengalaminya.

Kajian mendapati pesalah utama gangguan seksual adalah rakan sekerja (50%), diikuti oleh pelanggan (28%), orang bawahan (11%), orang atasan (7%) dan lain-lain (4%).

Macsa berkata kebanyakan langkah untuk menangani masalah gangguan seksual adalah ad hoc, termasuk peruntukan baru yang telah ditambah kepada Akta Pekerjaan 1955.

“Jabatan Tenaga Kerja juga telah mewajibkan semua organisasi untuk mengadakan Dasar Gangguan Seksual untuk mematuhi Akta Pekerjaan 1955 selepas peruntukan baru dalam akta dipinda itu berkuat kuasa pada tahun 2013.

“Walau bagaimanapun, langkah ini tidak cukup untuk menangani masalah ini.”

Show More

Related Articles

Back to top button
Close