Antarabangsa

Islam Di Republik Czech: “Arak Lebih Murah Berbanding Air Mineral”

Republik Czech ialah sebuah negara dikelilingi daratan (landlocked) yang terletak di Eropah Tengah (Central Europe).

Uniknya negara ini ialah kerana letak geografi yang dikelilingi negara-negara Eropah yang berkontras di antara maju dan sebaliknya. Di antara jirannya termasuklah Jerman, Poland, Austria dan Slovakia.

Republik Czech juga turut dikenali sebagai Czechia

Sebagai sebuah negara maju, pembangunan Republik Czech dibantu oleh bilangan sumber manusia yang ramai, iaitu sekitar 11 juta penduduk yang mendiami kawasan yang cuma seluas sekitar 79,000 kilometer persegi.

Czech terkenal sebagai sebuah negara yang sangat cantik

ISLAM DI SINI

Republik Czech menempatkan sebilangan kecil warga Muslim, dan jumlah mereka diangarkan sekitar 11,000 orang, dengan hanya 3,000 sahaja yang mengakui mengamalkan cara hidup Islam, menurut kupasan dalam Radio Praha.

Jumlah yang kecil iaitu tidak sampai 0.1% itu disumbangkan melalui perjalanan sejarah kehadiran Islam yang secara relatifnya agak baru.

Ini kerana, Islam sampai ke Republik Czech secara siginifikan bermula sekitar era 1970-an. Waktu itu, warga Islam yang datang ke sana adalah dari kalangan penduduk Asia Barat seperti Libya, Iraq, Syria dan Mesir yang bermigrasi ke Republik Czech sebagai pelajar.

Jumlah itu turut disumbangkan melalui para imigran muslim dari Balkan yang berhijrah ke Republik Czech untuk membina kehidupan yang lebih baik di negara yang maju ini.

Muslimah di Czech

KEHIDUPAN SEBAGAI MUSLIM

“Di Prague (ibukota Republik Czech), sebenarnya hidup sebagai Muslim bukanlah satu yang mudah, lebih-lebih lagi untuk mengekalkan prinsip moral dan integriti sebagai seorang Muslim sejati, kerana Prague merupakan bandar yang sangat “liar dan bertenaga” (vice)”; ujar Talah Nadeem dalam rencana berjudul “Life as a Muslim in Prague“.

Talah Nadeem turut menyambung lagi, mendedahkan sisi pertembungan dahsyat di antara kecekalan mempertahankan akidah dengan badai kemodenan dan liberalisme yang melanda warga Muslim di Prague: –

Sebagai bandar yang menempatkan syurga dunia (international playground), di Prague, air mineral lebih mahal dari arak, seks bukanlah sesuatu yang taboo dan dadah juga bebas dijual tanpa sekatan undang-undang.

Sebagai Muslim yang bersederhana, saya tidak meminum arak, tidak mengamalkan seks bebas dan tidak menjalankan sebarang usaha dakwah (agar tidak dilihat ekstrem dalam memaksa orang memeluk Islam)…

Dalam keadaan itu, saya percaya bahawa integrasi (rasa hormat) adalah kunci kejayaan…apabila saya beritahu rakan Czech yang lain bahawa saya tidak meminum arak, mereka secara automatik akan memandang rendah kepada saya seolah-olah saya adalah warga asing dari negara yang kuno.

Ini adalah realiti yang sering menimpa warga muslim di Czech.

Prague di Czech memang terkenal sebagai bandar yang “liar” dan penuh nikmat duniawi

ISLAM SEBAGAI SENJATA PARA POLITIKUS DI CZECH

Tidak sekadar menghadapi masalah mempertahankan integriti, warga Muslim di Czech juga menerima tamparan hebat apabila gerakan Islamophobia yang agresif melanda mereka dalam kerangka politik, iaitu kerangka terpenting yang menentukan jatuh bangun sesebuah negara..

Memetik Al Jazeera dalam pendedahan berjudul “Czech Republic’s tiny Muslim community subject to hate“, Islam di Czech menjadi bahan bualan hangat terutama dalam pentas politik.

Ini kerana apabila pilihanraya 2016 negara itu gagal membentuk parti yang memerintah (hung parliament), “king maker” ketika itu iaitu Direct Democracy Party (SPD) meraih populariti dengan polisi “No to Islam. No to terrorism”.

Kempen itu, menurut Al Jazeera lagi, berjaya meyakinkan SPD untuk meraih undi yang signifikan.

Warga Muslim Czech membantah tindakan politikus Czech yang biadap, yang menjadikan Islam sebagai modal politik murahan mereka

MASIH ADA KEDAMAIAN

Namun, ibarat permata yang senantiasa ditekan, Islam akhirnya tetap berjaya memberi sinar yang mendamaikan di seluruh Czech.

Ini termasuklah mengukuhkan ukhwah sesama Muslim, bertepatan dengan pepatah “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.”

Di samping itu, cahaya Islam juga menyinari bumi Czech dari sudut keterbukaannya dalam berasimilasi, dan hal ini dikupas juga oleh Talah Nadeem, seperti berikut: –

“Saya bertuah kerana para sahabat berlainan agama tidak pernah sesekali memberikan tekanan untuk saya membelakangi agama Islam, bahkan mereka turut menghormati ruang kepercayaan saya dan tidak sesekali cuba mengheret saya keluar dari zon selesa saya (Islam)…”

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button