Isu SemasaMalaysiaTempatan

Terjebak Skim Pelaburan Mata Wang Kripto, 130 Rakyat Malaysia Rugi RM30 Juta

Baru-baru ini, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan kira-kira 130 orang rakyat Malaysia telah mengalami kerugian RM 30 juta selepas terjebak dalam skim pelaburan matawang kripto dalam tempoh tiga tahun lalu.

Memetik laporan New Straits Times, mangsa bukan sahaja kehilangan duit simpanan, malah dalam segelintir kes, mereka juga terpaksa menjual rumah dan aset-aset lain, serta meminjam wang daripada ahlong untuk melangsaikan hutang mereka dengan institusi-institusi kewangan.

Menurut ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, kesemua mangsa terbabit membuat pelaburan dalam sebuah skim yang dikenali sebagai Bitkingdom.

Berdasarkan rekod persatuan itu, Bitkingdom telah mula menjerat orang ramai sejak tahun 2015 lagi.

“Ini merupakan trend baru dalam penipuan….130 orang mangsa ini adalah mereka yang telah membuat aduan kepada PPIM.

“Kami menasihatkan mereka untuk membuat laporan polis, namun (negara) kita masih tiada undang-undang khusus untuk menangkap pesalah kerana undang-undang sedia ada tidak meliputi skim-skim berkenaan,” kata beliau.

Oleh itu, PPIM menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) dan agensi CyberSecurity Malaysia untuk merangka undang-undang khusus dalam usaha menangani sebarang isu yang melibatkan mata wang kripto.

Sementara itu, pengerusi biro undang-undang PPIM, Hishamuddin Hashim berkata, pihak berkuasa perlu berada “10 langkah di hadapan” skim-skim tersebut.

“Penipu sentiasa mempunyai cara baru untuk menipu orang ramai. (Dengan skim matawang kripto), mereka telah menemui satu ‘formula’ yang mampu mengelak daripada (diambil) tindakan oleh agensi-agensi penguatkuasa di Malaysia kerana tiada peraturan khusus untuk menangani skim-skim ini,” jelasnya.

Ujar Hishamuddin, perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana terdapat pengguna yang tidak tahu akan kewujudan skim-skim seumpamanya dan memerlukan pertolongan pihak berkuasa untuk menasihati dan menghulurkan bantuan kepada mereka apabila ditipu.

Show More

Related Articles

Back to top button