Sukan

Piala Thomas: Malaysia Gagal Lagi

Penantian Piala Thomas diteruskan lagi.

Malaysia nampaknya perlu menunggu lebih lama lagi untuk menjulang Piala Thomas apabila tewas di tangan musuh tradisi Indonesia di peringkat suku akhir yang berlangsung di Arena IMPACT di Bangkok pada Khamis yang lepas.

Datuk Lee Chong Wei memulakan langkah Malaysia dengan memenangi perlawanan terbuka perseorangan. Namun begitu, rakan sepasukan Goh V Shem – Tan Wee Kiong, Lee Zii Jia dan Aaron Chia – Teo Ee Yi semuanya gagal menewaskan lawan masing-masing.

Pasangan Aaron – Ee Yi gagal mendapat sentuhan magis yang diperlukan bagi membawa perlawanan ke set penentuan apabila mereka tewas 12-31, 21-10, 9-21 kepada Muhammad Rian Ardianto – Fajar Alfian.

Sebelum itu, Lee Chong Wei, walaupun sudah berumur 35 tahun tetap menunjukkan dirinya masih boleh diharapkan apabila beliau menghadiahkan mata pertama dengan menewaskan Anthony Ginting 21-19, 21-16 dalam masa 49 minit.

Ia adalah kemenangan kedua Chong Wei ke atas Anthony pada tahun ini selepas menewaskannya di Kejuaraan Badminton Asia pada bulan lepas.

“Saya menggunakan strategi yang sama seperti semalam (menentang Viktor Axelsen dari Denmark) dan menyerang daripada awal,” kata Chong Wei.

“Saya mencari peluang untuk mendapatkan mata. Anthony adalah 15 tahun lebih muda daripada saya dan beliau sangat agresif, tetapi saya dapat bermain dengan baik untuk menewaskan beliau,”

Namun keseronokan itu tidak kekal lama apabila beregu nombor satu negara, Goh V Shem – Tan Wee kiong gagal untuk memenangi mata kedua negara apabila mereka tewas 19-21, 22-20, 13-21 dalam masa 55 minit.

Perlawanan itu sangat sengit di set pertama dan kedua, tetapi beregu Malaysia akhirnya kehabisan tenaga.

Wee Kiong berkata: “Kami bermain dengan baik, lebih baik dari semalam, tetapi tidak bernasib baik.

“ia tidak mengikut rancangan di set ketiga. Kami gemuruh ketika membalas serangan, dan melakukan banyak kesilapan.”

Selepas gagal sekali lagi untuk mendapatkan mata selepas tewas ketika menentang Denmark pada Rabu yang lalu, V Shem berkata: “Kami dijangka untuk menang, dan kami juga mahukan begitu. Kami perlu menerima kekalahan ini.”

Lee Zii Jia juga tidak berjaya mendapatkan mata kedua negara. Pemain berusia 20 tahun itu memberikan saingan hebat kepada pemain nombor 11 dunia, Jonatan Christie, yang juga pemenang pingat emas Sukan Sea KL 2017 sebelum tewas 15-21, 21-11, 13-21 dalam masa 48 minit.

Dengan kekalahan ini, pasukan negara gagal untuk mencapai sasaran ke separuh akhir yang ditetapkan oleh Persatuan Badminton Malaysia.

Kali terakhir Malaysia gagal ke separuh akhir adalah enam tahun lalu di Wuhan.

Indonesia akan berdepan dengan China untuk mendapatkan tempat di perlawanan akhir, sementara juara bertahan Denmark akan menentang Jepun di perlawanan separuh akhir pada Jumaat ini.

Show More

Related Articles

Back to top button