Bisnes & Ekonomi

Jutawan China Bina Empayar E-Dagang Untuk Nenek

Richard Liu Qiangdong adalah seorang jutawan yang berjaya membina syarikat e-dagang kedua terbesar di China, iaitu JD.com. Tetapi di seluruh dunia, kejayaan beliau masih tidak diketahui.

“Sebab pertama saya memulakan bisnes adalah untuk membuat duit untuk nenek saya,” kata Liu.

“Malangnya dia sedang sakit pada waktu itu dan kami memerlukan banyak duit untuk perubatan, tetapi kami tiada duit.”

Daripada kesusahan tersebut, Liu membina syarikat JD sehingga mempunyai nilai pasaran kira-kira US$67 bil. Kini sekitar 162,000 orang bekerja di syarikatnya.

Langkah seterusnya untuk JD adalah untuk melabur di luar negara sebagai sebahagian daripada pelan untuk meluaskan kehadiran syarikat berkenaan di luar China.

Langkah pertama bagi mencapai matlamat global JD, Liu berkata, adalah untuk membawa masuk jenama luar ke China supaya pengguna dapat membeli apa yang mereka mahu tanpa perlu melancong ke luar negara.

Langkah kedua adalah dengan membawa beberapa jenama terkenal China ke pasaran antarabangsa, katanya.

“Saya percaya dalam 10 tahun akan datang kita dapat melihat jenama China di pasaran antarabangsa,” kata Liu.

JD memperkenalkan versi bahasa Indonesia pada 2015, sebelum meluaskan sayapnya ke Thailand. Tahun ini, syarikat tersebut merancang untuk masuk ke pasaran Vietnam.

Dalam membuat plan perancangan tersebut, Liu berkata bahawa beliau memastikan arah tuju JD adalah bersamaan dengan strategi ekonomi keseluruhan China.

JD akan mula fokus kepada pasaran Asia Tenggara sebelum meneroka pasaran Eropah, iaitu sejajar dengan projek China “One Belt and One Road”, sebuah projek pelaburan negara yang bertujuan untuk menguatkan kuasa lembut atau ‘soft power’ dengan meneroka semula hubungan perdagangan purba yang menghubungkan Kerajaan Tengah dengan Asia Tenggara dan Asia Tengah, Afrika, Timur Tengah dan Eropah.

Dilahirkan di dalam sebuah keluarga miskin di wilayah utara Jiangsu, Liu tidak terkenal di luar China berbanding jutawan lain seperti Jack Ma, Pony Ma Huateng dan Robin Li Yanhong.

Liu memulakan perniagaannya dengan membuka sebuah kedai di Beijing yang menjual bahagian komputer. Beliau terpaksa menutupnya pada 2003 selepas sindrom pernafasan akut yang teruk melanda China,menyebabkan rakyat terpaksa tinggal di rumah kerana takut berjangkit dengan penyakit maut itu.

Penutupan itu memaksa Liu untuk memindahkan perniagaannya ke dalam talian, lalu menjadikan perniagaan e-dagang itu menjadi JD.com yang terkenal hari ini.

Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker