AntarabangsaIsu Semasa

Sekolah Di Pattani Tarik Balik Larangan Memakai Tudung

Kementerian Pendidikan Thailand telah menarik balik larangan yang dikenakan di sebuah sekolah di wilayah Pattani dengan membenarkan pelajar Muslim memakai tudung dan seluar panjang yang mengikut peraturan agama Islam.

“Mereka perlu menghormati peraturan sekolah dengan hanya memakai warna yang dibenarkan oleh sekolah. Sebagai contoh, tudung perlu berwarna putih atau bersamaan dengan warna pakaian seragam,” kata Timbalan Menteri Pendidikan Lt. Jeneral Surachet Chaiwong.

Sepanjang minggu lepas, keadaan tegang telah menyelubungi Sekolah Anuban Pattani angkara kod pakaian yang ditetapkan ke atas pelajar Muslim. Sekitar 20 guru sekolah itu telah mengambil cuti disebabkan hal tersebut.

Walaupun sekolah berkenaan terletak di wilayah yang sebahagian besarnya diduduki golongan Muslim, sebelum minggu lepas pelajar di sana tidak pernah memakai pakaian Islam ke kelas.

Pelajar Muslim, yang mendapat sokongan daripada ibu bapa mereka serta Muslim for Peace Foundation, memulakan semester baharu mereka dengan memakai hijab dan seluar panjang.

Pada mulanya sekolah tersebut mengalu-alukan perubahan itu tetapi kemudian telah mengubah fikiran.

Pada 16 Mei, pengarah sekolah, Prajak Chusri berkata sekolah itu tidak mempunyai sebarang bantahan jika pelajar mahu datang ke kelas dengan berpakaian menurut peraturan agama Islam.

Tetapi dua hari kemudian, jawatankuasa sekolah mengadakan satu mesyuarat dan menolak cadangan bahawa pelajar Muslim sepatutnya dibenarkan memakai pakaian menurut peraturan agama.

Namun, ibu bapa dan aktivis hak asasi manusia enggan berputus asa. Mereka berhasrat untuk memperbesarkan kes itu lagi bagi mempertahankan hak-hak pelajar.

Sebelum masalah berlarutan, setiausaha agung di Pejabat Suruhanjaya Pendidikan Asas, Boonrux Yodpheth, bertemu dengan eksekutif Pejabat Perkhidmatan Pendidikan Kawasan 1 Pattani dan memutuskan bahawa anak murid Sekolah Anuban Pattani boleh memakai pakaian menurut kepercayaan agama mereka.

Biasanya, kod pakaian sekolah tidak mengenakan tudung dan seluar panjang.

Menurut satu sumber, larangan tersebut berkemungkinan besar disebabkan istitut pendidikan itu dibina atas tanah milik sebuah kuil dan oleh itu perlu mematuhi peraturan kuil.

Show More

Related Articles

Back to top button