AntarabangsaAsiaIsu Semasa

Pesawat Pengebom HK-6 Mendarat Di Laut China Selatan

Pesawat pengebom H-6K milik Angkatan Udara Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China telah mendarat di sebuah lapangan terbang di Laut China Selatan dalam latihan ketenteraan baru-baru ini.

Ini juga merupakan pertama kali pesawat pengebom negara itu mendarat di lapangan terbang di dalam rantau berkenaan.

Memetik laporan Asia News Network, beberapa buah H-6K daripada divisyen penerbangan yang tidak dikenal pasti dan diketuai oleh komander Hao Jianke, telah berlepas daripada sebuah pangkalan udara di selatan China.

Pesawat itu kemudian melancarkan serangan simulasi ke atas sasaran-sasaran di kawasan perairan sebelum mendarat di sebuah pulau yang terletak di Laut China Selatan.

Difahamkan, kerajaan China menyatakan bahawa terdapat sekurang-kurangnya empat lapangan terbang besar di Laut China Selatan, iaitu Pulau Yongxing di kepulauan Xisha, serta terumbu karang Meiji, Zhubi dan Yongshu di kepulauan Nasha.

Semua lapangan terbang tersebut juga dikatakan mampu menampung pesawat-pesawat gergasi.

Menurut kenyataan angkatan udara pada Jumaat lepas, operasi tersebut memberikan pengalaman baru bagi unit pengebom udara untuk menggunakan pulau sebagai pangkalan mereka.

“Ini bagi memperbaiki tahap kemampuan tentera untuk sampai ke wilayah yang dituju serta melancarkan serangan pada bila-bila masa dan dari mana-mana arah,” kata kenyataan itu.

Selain daripada Laut China Selatan, divisyen yang terlibat di dalam latihan berkenaan juga telah mengambil bahagian dalam perondaan di barat Lautan Pasifik serta beberapa kawasan tanah tinggi.

Wang Mingliang, seorang penyelidik di Air Force Command College milik PLA, latihan ketenteraan ini akan membantu mengukuhkan keupayaan tempur angkatan udara untuk menangani segala ancaman keselamatan di laut.

Sementara itu, Wang Uanan, editor di Aerospace Knowledge, menyatakan bahawa selepas unit pengebom udara tentera sudah boleh dikerahkan di pulau-pulau di Laut China Selatan, jarak operasi serta perimeter pertahanan maritim China turut akan diperluaskan pada skala yang besar.

Tambah beliau, langkah ini sekali gus akan meningkatkan kehebatan tentera untuk menangkis sebarang plot/rancangan musuh yang bertujuan untuk mengancam integriti wilayah China dari laut.

 

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button