AntarabangsaAsiaIsu Semasa

China Lancar Roket Buatan Swasta Pertama Ke Angkasa Lepas

Khamis lepas, China telah melancarkan roket pertama yang dibina oleh syarikat swasta ke angkasa lepas sekali gus menandakan pencapaian yang cemerlang dalam program penerokaan angkasa mereka.

Syarikat tempatan yang melakar sejarah baru itu dikenali sebagai OneSpace Technology dan roket yang telah dilancarkan oleh mereka adalah “Chongqing Liangjiang Star” atau OS-XO.

Sejak Xi Jinping dilantik sebagai Presiden China pada tahun 2012, beliau memberi keutamaan dalam merealisasikan matlamat China untuk menjadi kuasa utama dalam bidang keangkasawanan.

Menjelang tahun 2022, kerajaan negara itu berhasrat untuk menghantar stesen angkasa kekal kendalian manusia ke orbit.

Dalam pada itu, pengerusi OneSpace, Ma Chao berkata, roketnya dikuasai oleh enjin bahan api pepejal yang dibina sendiri oleh syarikat berkenaan, dan sistem kawalannya pula boleh ditetapkan mengikut cita rasa pengguna.

Memetik laporan Reuters, OS-XO juga mampu menampung barangan seberat 100 kilogram (kg) untuk pergi ke orbit dengan jarak 800 kilometer (km) daripada bumi.

Roket tersebut menggunakan teknologi penjimatan tenaga, termasuk sistem komunikasi tanpa-wayar dan ini dapat mengurangkan berat muatan sekali gus mengurangkan penggunaan minyak pada kadar 30%.

Difahamkan, OneSpace telah ditubuhkan pada tahun 2015 berikutan usaha kerajaan China untuk mengkomersialkan penerbangan angkasa dan menggalakkan penyertaan syarikat-syarikat swasta di dalam sektor itu.

Pengasasnya, Shu Chang menyatakan bahawa syarikat berkenaan dijangka akan menghantar 10 roket pembawa satelit ke angkasa lepas.

Saya berharap kami akan menjadi salah satu pelancar (roket) satelit kecil yang terbesar di dunia,” jelas Chu.

Tahun lepas, OneSpace telah memeterai perjanjian dengan syarikat yang dikendalikan oleh kerajaan China, Chongqing Liangjiang Aviation Industry Investment Group bagi membina pangkalan untuk tujuan pengeluaran dan penyelidikan di bandar Chongqing.

Lokasi strategik itu merupakan sebahagian daripada inisiatif “Belt and Road”, iaitu dasar luar utama China yang diperkenalkan oleh Presiden Xi.

Ia bertujuan untuk mewujudkan hubungan perdagangan di antara China dan Eurasia sekali gus dapat menyediakan pasaran eksport yang besar bagi OneSpace.

“Kami akan membina roket yang lebih besar pada masa akan datang dan menyertai persaingan global,” ujar Shu.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close